TMM2024: Pelancong Johor, Kuala Lumpur menang cabutan bertuah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 21 April – Tiga pengunjung bertuah dari Kuala Lumpur dan Johor memandu pulang kereta cabutan bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Nama-nama pemenang dicabut oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Kiosk Cenderamata, di sini, hari ini.

Pemenang bagi bulan Januari Lee See Keong dari Kuala Lumpur memandu pulang Proton Pesona 1.6, sementara itu cabutan bulan Februari dimenangi pengunjung juga dari Kuala Lumpur, Kamarul Aini Harun yang membawa pulang Perodua Aruz manakala cabutan bulan Mac dimenangi Rohayu Rahmat dari Johor membawa pulang Proton X50.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan daripada syarikat-syarikat yang bersetuju menaja hadiah cabutan bertuah sempena TMM2024.

“Tajaan ini membuktikan sokongan padu serta keyakinan syarikat-syarikat dan pemain industri terhadap usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam memperhebat kempen TMM2024.

“Alhamdulillah,Kerajaan Negeri menerima berita bertuah apabila memperoleh sumbangan wang tunai RM90,000 daripada Teladan Group Berhad sebagai hadiah Cabutan Bertuah sempena TMM2024,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem;Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memaklumkan Kerajaan Negeri turut menawarkan satu lagi peluang istimewa buat para pengunjung dan pelancong menerusi Kempen ‘Beli Cenderamata dan Menang’.

Jelasnya, pelancong dan pengunjung boleh membeli Cenderamata Khas TMM2024 serendah RM15, sekali gus layak menyertai cabutan bertuah.

“Kempen TMM2024 terus berjalan, sebanyak sembilan buah kereta, 24 buah motosikal serta sebuah bot berserta enjin ditawarkan kepada pengunjung dan pelancong yang bertuah bagi setiap sesi cabutan bertuah sepanjang tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Aplikasi Jom Melaka Cari Makan tawar diskaun sehingga 50 peratus
Next post MBMB tambah baik notis perubahan laluan Zon Bebas Kenderaan
Ubah saiz-+=