TMM2024: Pertandingan memancing ikan air tawar diperhebat tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 September – Pertandingan Memancing (Pra Joran) yang bakal dianjurkan pada siri kedua tahun hadapan akan terus diperhebat bagi menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penambahbaikan dengan tarikan pelbagai aktiviti bakal dianjurkan dalam program terbabit bagi memastikan sambutan itu terus menerima kemasukan pelancong dari seluruh negara.

“Melihat impak penganjuran yang diadakan julung kali hari ini sempena TMM2024 kita akan perhebatkan lagi dengan memperbesarkan penganjuran ini pada tahun hadapan.

“Untuk siri kedua tahun hadapan Kerajaan Negeri mencadangkan ia akan dianjurkan pada tarikh 20 Februari bersempena hari cuti umum Melaka meraikan Hari Perisyhtiharan Kemerdekaan.

“Sambutan hari ini menerima penyertaan di luar jangka dan kita yakin selepas diperbesarkan nanti ia sudah pasti akan bersifat serampang dua mata di mana membawa manfaat kepada pelancong untuk menyertai pertandingan ditawarkan.

”Pada masa sama mereka boleh menikmati keindahan di pusat pelancongan di negeri ini,” katanya selepas melancarkan Pertandingan Memancing (Pra Joran) Sempena Bulan Kemerdekaan 2023  di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Pengkalan Rama, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Tpr. Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.

Terdahulu, dalam program diadakan sejak awal pagi tadi menerima sambutan lebih 800 pemancing dari seluruh negara berhimpun bagi mendapatkan gelaran juara yang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Pada program itu juga turut menganjurkan Pertandingan Memasak yang bakal dimulakan tepat jam 1.00 tengah hari nanti dijadual akan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2203
Kongsi :
Previous post Lebih 800 pemancing berentap rebut RM10,000 di Sungai Melaka
Next post Tindakan tegas kepada pihak laksana pembelian bersyarat barang kawalan – Fuziah
Ubah saiz-+=