TMM2024: Program keagamaan sepanjang Mac

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 6 Mac – Sepanjang bulan ini, kalender Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal diwarnai pelbagai pengisian program berbentuk keagamaan dan kerohanian.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program tersebut disusun memandangkan umat Islam akan menyambut Ramadan bermula 12 Mac.

Menurut beliau, antara acara yang disusun sepanjang bulan ini adalah seperti majlis berbuka puasa bersama pengunjung dan pelancong, majlis bersahur, Quran Hour dan pertandingan musabaqah melibatkan sekolah-sekolah tahfiz seluruh Negeri Melaka.

“Antara tarikan yang akan kita bawa ialah majlis berbuka puasa terbuka yang membawa kelainan di mana kita akan adakan dengan berkonsepkan ‘potluck’ di lokasi dan tarikh yang sedang dimuktamadkan.

“Buat masa ini, kita mencadangkan kawasan padang Dataran Pahlawan iaitu lokasi Pavilion TMM2024 untuk penganjuran itu dengan sasaran pengunjung seramai 5,000 orang.

“Selain itu, dari semasa ke semasa juga kita akan perbanyakkan lagi program-program keagamaan lain sebagai menghormati bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat (YB), Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) Sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Seri Negeri.

Menurut Abdul Razak, walaupun kedatangan pelancong merudum sepanjang Ramadan, namun Kerajaan Negeri akan terus berusaha merancakkan sambutan TMM2024 dengan merencana pelbagai program bersesuaian.

Sepanjang bulan ini, ujar beliau, tema TMM2024 yang ditetapkan ialah pelancongan agama, justeru, program berbentuk kerohanian, ilmiah dan berbentuk kemasyarakatan akan diperkasa untuk menarik kehadiran pengunjung dan pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Konvensyen Baitulmal Kebangsaan di Melaka buka tirai esok
Next post 13 Gerbang Pantun di pintu masuk utama Melaka
Ubah saiz-+=