TMM2024: Sungai Melaka bertambah menarik

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Mei – Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal mengubah Melaka menjadi sebuah destinasi pelancongan yang lebih menarik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, bagi menarik kehadiran pelancong dan memacu pertumbuhan sektor pelancongan, pelbagai pengisian program dan pengenalan produk-produk baharu telah dirangka jawatankuasa terlibat.

Katanya, ia termasuklah membabitkan tarikan pelancongan utama Negeri Bersejarah iaitu di Sungai Melaka yang kini sedang menjalani transformasi.

“Apa yang kita lakukan ialah kita akan memperindah Sungai Melaka dengan hiasan terbaik bagi menjadikan ia sebagai antara lokasi tumpuan.

“Kita juga bercadang menyerikan 40 buah bot di Sungai Melaka dengan hiasan dan logo penaja yang berminat untuk dijadikan sebagai antara sumber pengiklanan mereka.

“Pada masa sama, kita juga akan memberikan tawaran istimewa menaiki bot Melaka River Cruise secara percuma pada Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah tahun depan, berdasarkan ‘first come, first serve’,” katanya.

Selain itu, Ab Rauf berkata, projek Sungai Melaka Fasa 2 juga kini sedang dilakukan dan ia dijangka siap dua bulan lagi.

Katanya, di Sungai Melaka Fasa 2, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan pesta memancing air tawar terbesar di Malaysia sempena TMM2024 di kawasan sepanjang 5 kilometer (km).

“Selain pesta memancing, kita juga akan mengadakan pertandingan memasak ikan air tawar dan pelbagai lagi produk menarik di sepanjang Sungai Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1553
Kongsi :
Previous post Bandaraya baharu Melaka di koridor M-WEZ
Next post Klebang Walk jadi produk baharu TMM2024
Ubah saiz-+=