Klebang Walk jadi produk baharu TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KLEBANG 31 Mei – Dataran 1 Malaysia, Klebang bakal berubah wajah hujung tahun ini apabila dijenamakan menjadi Klebang Walk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, penjenamaan baharu itu dilakukan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun depan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Menurutnya, antara aspek yang bakal diberi perhatian menerusi pembangunan Klebang Walk ialah menyelaras semula kedudukan peniaga-peniaga di kawasan tersebut, selain menambah baik aspek pencahayaan dan keceriaan di kawasan itu.

“Kita melihat kawasan ini (Dataran 1 Malaysia) rancak dengan aktiviti perniagaan merangkumi kawasan pantai, di sepanjang jalan dan juga turut menjadi kawasan rekreasi dan riadah.

“Jadi, kita melihat adanya keperluan untuk menyusun semula beberapa aspek antaranya dari segi keseragaman peniaga di bawah satu nama baharu iaitu Klebang Walk.

“Selain itu, aspek kehijauan dan keceriaan juga bakal diambil kira dengan menambah hiasan dan keceriaan dengan lampu hiasan dan lain-lain sebagai persiapan TMM2024 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak bersama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman di pesisir Pantai Klebang, baru-baru ini.

Tambah Ban Hong, sebuah Jawatankuasa Pembangunan Klebang Walk akan ditubuhkan bagi memantau progres pembangunan di kawasan tersebut.

“Kita turut difahamkan sebuah hotel baharu akan dibuka di Klebang hujung tahun ini, jadi diharap dengan adanya Klebang Walk ia dapat menjadikan Klebang sebagai destinasi yang lebih baik untuk menarik kehadiran pelancong.

“Malah, turut difahamkan, MBMB bercadang mewujudkan laluan berbasikal di sepanjang pesisir Pantai Klebang yang mana ia juga mampu menarik kehadiran orang ramai untuk beriadah sambil menghirup bayu laut,” katanya.

Sementara itu, Shadan memaklumkan, penyelarasan Klebang Walk itu dijangka siap hujung tahun ini dengan dikelolakan oleh satu penganjur sahaja.

Katanya, MBMB akan turut mengenakan beberapa syarat kepada peniaga di kawasan tersebut, antaranya alat-alat perniagaan mesti dikemas dan diangkat selepas berniaga, selain perlu menjaga kebersihan kawasan tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, beberapa fasiliti akan dinaik taraf antaranya membabitkan laluan yang akan diturap semula, selain memasang lampu-lampu.

“Kita juga akan memastikan laluan utama adalah untuk orang awam meletakkan kenderaan dan bukannya menjadi tapak perniagaan seperti sebelum ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1883
Kongsi :
Previous post TMM2024: Sungai Melaka bertambah menarik
Next post KKM bentang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 Jun ini
Ubah saiz-+=