KKM bentang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 Jun ini

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KOTA LAKSAMANA 31 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan pada minggu pertama Persidangan Parlimen Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, pembentangan itu penting selepas dapatan hasil kajian dijalankan Institusi Kanser Negara (IKN) menunjukkan peningkatan ketara pengunaan ‘vape’ (rokok elektronik) daripada 9.8 peratus kepada 14.9 peratus bagi tempoh 2017 hingga 2022.

Katanya, RUU bakal dibentangkan nanti mendapat sokongan daripada semua ahli kabinet melalui sesi libat urus membabitkan semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang dijalankan sebelum ini.

“Ia bukan hanya melibatkan ahli parlimen, malah mengambil pandangan pengiat industri vape dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum dibentangkan.

“Buat masa ini memang ada kekangan yang mana tiada sebarang perundangan atau peraturan yang perlu diikuti pemain vape ini, kita tidak punyai kuasa untuk menguatkuasa dan mengambil tindakan ataupun hukuman penyalahgunaan vape,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dewan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman serta Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia merangkap Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr. M. Murallitharan.

Lukanisman berkata, pihaknya akan memberikan komitmen pada persidangan itu kerana banyak kertas-kertas penting yang akan dibawa dan menunggu kelulusan kabinet.

“Kita harap undang-undang ini akan dapat diluluskan dewan rakyat dan negara pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2119
Kongsi :
Previous post Klebang Walk jadi produk baharu TMM2024
Next post Akses projek TAPS Jernih tak ganggu penduduk
Ubah saiz-+=