Akses projek TAPS Jernih tak ganggu penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 31 Mei – Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Jernih kini giat dijalankan dijamin tidak akan menimbulkan sebarang masalah atau mengganggu laluan utama digunakan penduduk sekitar.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pemaju membina jalan masuk baharu sepanjang lima kilometer ke tapak projek bagi mengelakkan sebarang kesulitan khusus kepada penduduk kampung.

Katanya, laluan alternatif itu bukan sahaja menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk sebaliknya melancarkan lagi perjalanan projek.

“Ada dua akses kalau kita ikut jalan kampung ini iaitu melalui Felcra Ramuan China dan Kampung Sungai Jernih, jadi kita tidak mahu timbul isu keselamatan apabila jentera berat menggunakan laluan kampung.

“Perkembangan semasa TAPS sudah mencapai 28 peratus, mungkin dalam tempoh setahun setengah akan siap,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek TAPS Jernih di Kampung Sungai Jernih, di sini, semalam.

Hameed berkata, TAPS merupakan projek takungan air terbesar di Negeri Melaka bakal menyelesaikan masalah air dalam Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Menurutnya, selepas TAPS, projek pembinaan loji air di kawasan itu juga akan dibangunkan dengan jangkaan siap sepenuhnya pada 2026.

“TAPS ini akan membantu Negeri Melaka, kerana selama ini kita menggunakan air dari Sungai Muar, Johor. Selepas ini kita akan menggunakan air dari Sungai Rembau dalam kawasan Melaka sebagai langkah mengurangkan pengambilan air dari Johor.

“Dijangka selepas 2026 isu air bagi daerah Alor Gajah akan diselesaikan seiring dengan hasrat pelan jangka panjang kita iaitu menuju persiapan air pada 2050,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2415
Kongsi :
Previous post KKM bentang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 Jun ini
Next post Pembenihan awan jika benar-benar perlu
Ubah saiz-+=