Pembenihan awan jika benar-benar perlu

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER LIMAU 31 Mei – Pembenihan awan hanya akan dilaksanakan jika paras air di empangan dan kolam takungan utama di Negeri Melaka berada pada paras yang membimbangkan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, alternatif itu sememangnya termasuk dalam perancangan jika Melaka berdepan masalah bekalan air.

Hameed berkata, jika perlu proses pembenihan awan akan dilaksanakan menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka.

Katanya, berdasarkan paras semasa di empangan dan kolam takungan utama, bekalan air bagi Negeri Melaka dijangka mampu bertahan hingga November ini.

“Namun Kerajaan Negeri meminta semua pihak untuk bersama-sama mengamalkan langkah penjimatan air, jika tidak dikhuatiri kita tidak dapat bertahan hingga November seperti dijangka.

“Empangan Durian Tunggal pada hari ini (semalam) merosot sedikit kepada 70 peratus namun empangan Asahan dan Jus masih kekal 99 peratus,” katanya selepas meminjau perkembangan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kampung Sungai Jernih, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara alternatif bagi memastikan bekalan air di Negeri Melaka tidak terjejas adalah dengan menambah jumlah pam saluran air dari Sungai Muar, Johor.

Jelasnya, alternatif itu sebagai membantu meningkatkan kapasiti air di Empangan Durian Tunggal.

“BKSA Melaka telah berbincang dengan BKSA Johor untuk menambahkan satu lagi pam. Ketika ini tiga unit pam digunakan untuk menyalurkan air ke Empangan Durian Tunggal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2216
Kongsi :
Previous post Akses projek TAPS Jernih tak ganggu penduduk
Next post Melaka kaji 9 lokasi jalan sesak, laksana ‘no right turn’
Ubah saiz-+=