TNB salur lebih RM15 juta bantu 50,000 pelajar sekolah tahun ini.

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 18 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan lebih RM15.87 juta tahun ini bagi membantu hampir 50,000 pelajar sekolah menerusi program tanggungjawab korporat dalam bidang pendidikan.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu merangkumi penajaan kemudahan pembelajaran dalam talian, kelengkapan asas persekolahan murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaan.

“Sejak 2013 lagi kami menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan dan meringankan beban keluarga B40 terutama di kawasan luar bandar bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspirasikan Khazanah Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan dengan jumlah keseluruhan bagi tempoh 2021 hingga 2023 sebanyak RM945,000.

Menurut Mahdzir, TNB turut membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan di bawah Program Sekolah Amanah.

Selain itu, bagi membantu murid-murid dari keluarga miskin bandar di sekitar ibu pejabat TNB di Bangsar, syarikat itu akan membelanjakan RM675,000 dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini untuk menyalurkan elaun RM1,500 setahun untuk 150 pelajar.

Mahdzir berkata bagi menyokong usaha merapatkan ruang digital, TNB, sebagai antara penaja utama Tabung Cerdik (CERDIK) anjuran Yayasan Hasanah memberikan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar menerusi penyediaan komputer riba, tablet dan talian data untuk pelajar sekolah menengah.

“Bagi program Ceria Ke Sekolah, 30,000 murid keluarga B40 telah dan bakal menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini,” katanya.

Sementara itu, TNB juga memperuntukkan RM395,000 untuk menyumbangkan cermin mata percuma kepada lebih 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah program Better Brighter Vision (BBV).

Menurutnya, TNB juga memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di seluruh Semenanjung bagi menjayakan pelbagai aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post Ahli Parlimen boleh minta penjelasan, beri pandangan pada sidang khas Dewan Rakyat
Next post 100 peratus dewasa di Malaysia dijangka lengkap vaksin pada Oktober
Ubah saiz-+=