Toh Puan Zurina: Perginya berjasa…
AYER KEROH – Pemergian Allahyarhamah Toh Puan Zurina Kassim, isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dianggap sebagai satu kehilangan besar buat Negeri Melaka.
Sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, Allahyarhamah cakna dengan nasib penduduk Melaka khusus golongan bernasib baik.
Antara jasa besar Allahyarhamah adalah mengasaskan Yayasan Toh Puan Zurina, bagi membantu golongan kurang bernasib baik, khusus pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.
Bagi Sarjan Noramiza Long, ditugaskan sebagai pengiring Allahyarhamah, Toh Puan Zurina adalah seorang wanita mempunyai sifat keibuan yang tinggi, tegas, namun penyayang.
Noramiza ditugaskan menjadi juruiring kepada Allahyarhamah selama empat tahun bermula 2014 berkata, meskipun bergelar kenamaan Toh Puan Zurina amat cakna dan peka terhadap kebajikan pegawai dan pembantu Istana Melaka.
“Menjadi satu penghormatan diberi peluang berkhidmat bersama Allahyarhamah. Toh Puan Zurina tidak kekok dan kerap bergurau senda dengan pegawai serta pembantu.
“Toh Puan suka bercerita pengalaman lucu, indah dan paling diingati bercerita pengalamannya ketika menemani Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai Duta Malaysia di negara luar,” katanya sambil menahan sebak.
Katanya, Toh Puan Zurina gemar menjamah hidangan masak lemak sayur labu dan menonton dokumentari pada waktu senggang.
Sementara itu, berkongsi pengalaman bertugas sebagai pengiring Allahyarhamah, Deputi Superitendan Mohd Nashriq Sanudin berkata, Toh Puan Zurina adalah seorang yang lembut dan cepat mesra.
Dia yang ketika itu ditugaskan sebagai Ketua Keselamatan Istana Melaka berkata, Toh Puah Zurina adalah seorang yang menepati masa dan tidak suka melengahkan sesuatu pekerjaan.
“Sepanjang lapan tahun menjadi juruiring, saya boleh katakan Toh Puan Zurina adalah seorang yang tidak pernah lupakan asal usulnya, meskipun bergelar isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 ketika itu.
“Setiap kali Ramadan atau hari raya, Toh Puan tidak pernah lupa untuk menziarahi saudara-maranya di Duyong,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor.
Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan Allahyarhamah meninggal dunia pada tanggal 18 Ogos lalu di kediamannya di Bukit Damansara.
Allahyarhamah kemudiannya dibawa ke Dewan Seri Negeri, di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al Azim.
Antara kenamaan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Toh Puan Zurina, 78, dilahirkan di Duyong, pada 13 Julai 1944, mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mohd Khalil pada 28 Februari 1965 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.