Tokan kecil-kecilan dicekup dalam Op Tapis

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JASIN 11 Ogos – Dua lelaki termasuk seorang tukang kebun dipercayai tokan dadah ditahan bersama sejumlah peket lut sinar mengandungi bahan terlarang itu, dalam dua siri tangkapan Op Tapis, di Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, suspek pertama berusia 37 tahun yang juga tukang kebun ditahan kira-kira jam 6 petang 8 Ogos lalu, manakala seorang lagi berusia 48 tahun ditahan pada 1.50 pagi tadi.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan hasil pemeriksaan keatas tubuh badan lelaki itu menemui sejumlah peket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis syabu.

“Susulan itu dengan dipandu arah suspsek, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Harmoni dan pemeriksaan di dalam sebuah bilik di premis itu menjumpai tujuh paket lut sinar yang juga disyaki dadah syabu.

“Malah hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek yang sudah 10 tahun aktif aktif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah didapati positif methampethamine selain dia turut mempunyai dua rekod lampau,” katanya.

DADAH dirampas daripada suspek.

Menurutnya, tangkapan kedua membabitkan seorang penganggur pula dilakukan di Kampung Sempang Pantai dan hasil pemeriksaan polis menemukan lebih 30 paket plastik lut sinar dipercayai dadah heroin, syabu serta pil eramin 5 serta daun kering disyaki ganja.

“Siasatan lanjut suspek yang mendakwa sudah terbabit dengan dadah sejak 30 tahun lalu mengatakan bekalan bahan terlarang itu diperoleh dari negeri jiran. Dia mendakwa menjual bahan berkenaan secara kecil-kecilan sekitar Merlimau dan Sungai Rambai.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau selain positif methampetamine hasil ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya,

Mispani berkata, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 6 akta sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3358
Kongsi :
Previous post Derma organ beri sinar kepada penerima – KM
Next post Ab Rauf lawat mangsa ribut
Ubah saiz-+=