Sorting by

×

Derma organ beri sinar kepada penerima – KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 11 Ogos – Penduduk di negeri ini digalakkan untuk mendaftarkan diri sebagai penderma organ bagi membari sinar kepada mereka yang memerlukan seperti penghidap penyakit kronik meneruskan kehidupan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hanya satu peratus atau 774 daripada 515,530 individu seluruh negara yang sudah melafazkan ikrar bersetuju untuk mendermakan organ mereka selepas meninggal dunia.

Berikutan itu Sulaiman mengajak lebih ramai penduduk di negeri ini tampil menderma bagi membantu 10,357 pesakit yang kini menunggu transplan organ daripada penderma.

“Diharapkan lebih ramai lagi yang tampil berikrar untuk menderma organ dan diharap lebih ramai waris bersetuju dengan hasrat ahli keluarga mereka yang ingin mendermakan organ supaya lebih ramai pesakit mendapat sinar kehidupan.

“Bantulah dengan menderma organ sama ada buah pinggang, hati, jantung, tisu atau sebagainya. Menderma ini diharuskan mengikut majlis fatwa kerana pada masa sama dapat memberi satu kehidupan yang baharu kepada pesakit.

“Bagi Melaka hanya tujuh individu direkodkan telah bersetuju untuk menderma organ mereka pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ Peringkat Negeri Melaka di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur negeri, Datuk rahmad mariman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut Sulaiman berharap peratusan jumlah penderma organ terus meningkat dengan syarat penderma bebas daripada penyakit yang berjangkit.

“Kita menyasarkan setiap tahun 1,000 orang berikrar untuk menderma organ, saya percaya sumbangan ini secara tidak langsung mengeratkan silaturahim di samping memberi kehidupan kali kedua kepada penerima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1597
Kongsi :
Previous post Kerajaan tampung subsidi tarif elektrik RM6.51 bilion pada 2022
Next post Tokan kecil-kecilan dicekup dalam Op Tapis
Ubah saiz-+=