Transformasi pengurusan demi capai kecemerlangan pendidikan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 17 Feb – Warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka perlu melakukan transformasi dalam semua aspek pengurusan sama ada di peringkat sekolah mahupun di pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi menghasilkan taraf pendidikan yang berkualiti tinggi.

Pengarahnya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, bagi memastikan pengurusan pendidikan dapat dilaksanakan dengan cemerlang, perkara yang perlu difokuskan adalah melakukan transformasi sekolah.

Katanya, selari Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), perubahan itu perlu diberi perhatian supaya ia dapat melahirkan generasi pelajar yang berkualiti tinggi pada masa hadapan.

“Warga pendidik perlu melakukan anjakan minda dan sikap dalam semua aspek pengurusan termasuk pengurusan pedagogi dan hal ehwal murid.

“Warga JPN perlu memastikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam melaksanakan proses pembelajaran dalam bilik darjah serta TS25 supaya melahirkan generasi yang relevan sesuai dengan tuntutan zaman dan masa demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran #jpnmelakajenamakerajaanno1- Memayungi Aspirasi Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka secara maya di laman YouTube jabatan itu pagi tadi.

Dr Azam berkata, bagi memastikan pendidikan dilaksanakan secara lebih berkualiti, warga pendidik juga perlu memberi perhatian terhadap pentaksiran bilik darjah bagi mencapai falsafah pendidikan kebangsaan dan memenuhi visi kementerian.

“Semua pentaksiran itu perlu dilaksanakan dengan penuh teratur dan strategik serta berkualiti selain memastikan gerak kerja ko-kurikulum dapat dirancang dengan sebaik mungkin supaya anak-anak sihat dari segi minda, rohani dan jasmani,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengurusan dalam pentadbiran sekolah dan pejabat pendidikan daerah melakukan transformasi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Pegawai pendidikan sama ada di pejabat pendidikan daerah (PPD) mahupun di JPN berperanan menjadi konsultan kerana mereka ini mempunyai kompetensi dan kemahiran tinggi untuk menjayakan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Mereka perlu berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain dengan memberikan data serta analisis dan cadangan strategik,” katanya.

Views:

1167
Kongsi :
Previous post Melaka ikat penyerang Montenegro, Stefan Nikolic
Next post ‘Kita belum menang’, rakyat Melaka mohon bersabar dua minggu lagi.
Ubah saiz-+=