Tuah jambu lohan, raih pendapatan RM12,000 seminggu

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

PULAU GADONG 12 Okt – Rasanya manis dan saiz buah yang besar menjadikan jambu lohan jenis GU16 mendapat permintaan tinggi daripada pengemar buah-buahan tempatan di seluruh negara.

Tanaman itu diusahakan anak tempatan Abdul Halim Abdullah, 45, yang dahulunya kontraktor telekomunikasi dan kini memiliki ladang jambu lohan seluas tiga hektar sejak dua tahun lalu.

Menurut Abdul Halim, ladang itu diusahakan di atas tanah yang disewa dengan bayaran RM4,200 setahun dan kini dia mampu menjana pendapatan kira-kira RM12,000 seminggu.

ABDUL Halim mengutip hasil tanaman di ladang Kampung Tengah Pulau Gadong. FOTO MR Azli

“Di Melaka yang jual jambu lohan jenis GU16 hanya saya seorang, bezanya jambu ini ia lebih manis dan lembut untuk dimakan.

“Kalau ikut secara mingguan pendapatan saya boleh mencecah RM8,000 hingga RM12,000 dan dalam seminggu saya akan jual satu hingga dua tan.

“Permintaan memang banyak, biarpun ada 1,000 pokok tapi pembeli runcit saja ada 23 orang, belum lagi permintaan pembeli luar dari Kuala Lumpur, Selangor, Klang, Perak dan Penang,” katanya ketika ditemui MHI di ladangnya hari ini.

Pada awalnya Abdul Halim memulakan bidang pertanian dengan tanaman fertigasi seperti cili, timun dan terung sebelum beralih kepada tanaman konvensional seperti jambu lohan kerana modalnya lebih kecil, namun hasilnya lumayan.

JAMBU lohan GU16 mendapat permintaan tinggi daripada pengguna dari seluruh Malaysia.

“Saya asal kontraktor telekomunikasi, setelah berkecimpung dalam kontraktor saya bosan sebab banyak persaingan jadi saya berubah kepada pertanian yang mana pertanian pertama adalah (melalui teknik) fertigasi.

“Saya buat fertigasi sebanyak 4,000 polibeg tanaman cili, timun dan terung. Disebabkan kos tinggi dan harga sayur rendah, saya beralih kepada tanaman konvensional iaitu tanaman atas tanah, modalnya kecil tapi hasil besar.

“Selepas empat tahun saya berubah kepada tanaman buah-buahan (jambu lohan) sebab tidak perlu kerja pembersihan semula dan ia lebih mudah selain pendapatan lumayan,” katanya.

Abdul Halim berkata, beliau pernah mengalami kerugian apabila 200 pokok jambu lohannya rosak akibat serangan hama merah dan labah-labah merah.

ABDUL Halim ketika meninjau keadaan ladang jambu lohan miliknya. FOTO MR Azli

“Kita tengok musim, sekiranya musim panas kebanyakan serangga macam hama merah dan laba-laba merah, tapi kalau musim hujan kulat terlalu kuat jadi kita perlukan racun untuk semburan.

“Pernah berlaku tanaman rosak dan 200 bantang pokok diserang serangga, kos kerugian dalam RM4,000. Nasib baik buah masih boleh makan cuma pokok saja yang rosak,” katanya.

Katanya lagi, tanaman jambu lohan itu pernah mencecah berat sehingga empat kilogram sebiji, namun terpaksa diubah kepada saiz lebih kecil mengikut permintaan pembeli.

“Pernah sampai empat kilogram sebiji, tapi kita ada masalah dari segi jualan sebab kuasa membeli agak kurang.

“Jadi sekarang saya ada tiga bidang kebun, dua kebun saya buat ada jambu lohan dua kilogram, 1.8 kilogram dan 800 gram, satu lagi kebun buah besar saya jual kepada pemborong.

“Setakat ini saya jual jambu lohan RM5 sekilogram, sebab itu saya cadangkan peniaga kecil ni beli secara terus di kebun sebab harga lebih murah,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7021
Kongsi :
Previous post ‘Itu bukan suara saya’ -Idris
Next post Polis Melaka belum terima laporan rakaman perbualan yang dikaitkan Idris
Ubah saiz-+=