Tuan Ibrahim kesal

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan keras yang diucapkan pada Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.

Ia selepas ucapan perwakilan dari Kelantan melabel tiga individu di dalam PAS sebagai ‘tiga jahanam’ yang telah merosakkan hubungan di antara PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sama sekali menolak kenyataan terbabit meskipun menghormati hak bersuara di negara ini.

“Saya menolak kenyataan tersebut disebabkan melampau, kita hormati hak parti politik tapi tak boleh kita label dan letak istilah-istilah seperti itu.

“Bagi saya itu hak parti PAS dan parti lain tak perlu masuk campur, tak perlu letak label yang begitu tidak manis,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, setakat ini pucuk pimpinan parti itu masih belum memutuskan untuk bekerjasama dalam MN berikutan perbincangan di peringkat tertinggi masih belum dijalankan.

“Status sehingga kini masih begitu, kita takda isytihar nak tarik dulu atau bubar, perbincangan di peringkat tertinggi belum berjalan lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengulas kenyataan wakil UMNO Terengganu, Bazlan Abd Rahman yang tidak mahukan kerjasama antara parti itu berikutan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Terengganu tidak bekerjasama dengan ADUN UMNO di negeri itu.

Beliau menjelaskan, wakil UMNO itu tidak mempunyai maklumat sebenar berkaitan kerjasama yang dijalankan di negeri itu sedangkan peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri Terengganu diagihkan sama rata kepada semua ADUN terlibat.

“Peruntukan Kerajaan negeri Terengganu disalurkan juga kepada ADUN UMNO di Terengganu sebagaimana pada ADUN PAS, mereka diberi peruntukan sama.

“Cuma nak sama dalam pembentukan kerajaan dia berbeza sebab negeri seperti Terengganu, Kelantan dan sebagainya (membentuk kerajaan) pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, ada pun negeri lain berlaku selepas itu.

“Kita dah bentuk Exco kerajaan negeri tak mungkin nak pecah Exco yang ada dan nak lantik baru, sebab ia dah dibentuk semasa PRU-14 dan bukan selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi kita kerjasama politik itu hak persekutuan dan bagi PAS penyatuan ummah ini adalah agenda besar… banyak ruang (kita) perlu lihat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post Sensasi anggur ‘made in’ Ramuan Cina Besar
Next post Kanak-kanak maut dicekik, disepak hanya kerana RM4
Ubah saiz-+=