Sorting by

×

TUJUH DITAHAN DISYAKI ‘BELASAH’ LELAKI HINGGA MATI

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Julai – Tujuh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki berusia 51 tahun yang didakwa akibat dipukul beramai-ramai dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Jasin Bestari, di sini, jam 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati terdahulu sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 7.30 malam, mangsa dikatakan bertindak menunjukkan kemaluan ketika berada di kawasan parkir sebuah pasaraya terkemuka di Jasin Bestari.

Katanya, perbuatan tidak senonoh itu disedari orang awam berada di kawasan parkir berkenaan dan akibat berang dengan kelakuan mangsa dua individu bertindak memukulnya.

“Mangsa cuba melarikan diri ke kawasan semak terletak di seberang longkang berhampiran lokasi kejadian. Namun dia sekali lagi dipukul beramai-ramai oleh beberapa lagi individu berada di seberang longkang berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi dia dikatakan menunjukkan kemaluan. Kami juga sedang menunggu hasil laporan perubatan bagi mengetahui punca menyebabkan kematian mangsa,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Negeri Melaka Tahun 2025, di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Pakistan berusia lingkungan 15 hingga 66 tahun ditahan reman selama tujuh hari hingga Ahad ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan, semua individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak terburu-buru dan mengikut lunas undang-undang.

“Sementara itu semakan dijalankan mendapati mangsa yang juga si mati sebelum ini mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 377D kerana kesalahan kelucahan melampau dan sudah dijatuhi hukuman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1048
Kongsi :
Previous post UPTOWN FLEA TUN TEJA KINI LUBUK REZEKI PENIAGA KECIL
Next post MPJ KOMITED TANGANI ISU HAIWAN TERBIAR SECARA HOLISTIK