Tumpahan minyak: Melaka buka kertas siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG TUAN 15 Okt. – Kerajaan negeri Melaka  membuka kertas siasatan berhubung insiden tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan, baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, hal itu dilakukan bagi mengesan dan mendakwa syarikat perkapalan yang bertanggungjawab melepaskan minyak di laut lepas sehingga menjejaskan perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kertas siasatan ini dibuka untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 39(d) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 yang memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM250,000.

“Saya minta Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk terus menjejaki si pelaku atau mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Jika alasan yang diberi adalah disebabkan kecuaian sekali pun, ia tidak boleh dimaafkan,” katanya yang ditemui ketika melawat keadaan Pantai Cermin di Tanjung Tuan, petang ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, tumpahan minyak itu telah menyebabkan lebih dua kilometer kawasan pesisir pantai terjejas, termasuklah 200 meter daripadanya melibatkan kawasan sempadan Melaka.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu dijangka mengambil masa yang lama berikutan sisa tumpahan minyak masih ada di tengah laut, selain ia turut menjejaskan kawasan paya bakau sekitar.

“Kerja-kerja sebegini bukan boleh siap sehari dua, tapi mungkin berlarutan lebih lama kerana selagi minyak itu ada di permukaan laut, selagi itulah kerja pembersihan perlu dijalankan.

“Ia diburukkan lagi apabila minyak itu telah sampai ke kawasan paya bakau yang mana bukan mudah untuk membersihkan setiap akar pokok paya bakau.

“Sebab itulah saya sangat mengalu-alukan kepada mereka yang pakar dalam bidang ‘oil and gas’ untuk tampil memberi bantuan, tidak kiralah bantuan dari sudut pengalaman, mahu pun bantuan peralatan,” katanya lagi.

 

Views:

496
Kongsi :
Previous post Polis Melaka keluarkan 521 kompaun terhadap individu gagal patuhi SOP PKPP
Next post Fasa pertama banci 2020 di Melaka masih rendah
Ubah saiz-+=