Polis Melaka keluarkan 521 kompaun terhadap individu gagal patuhi SOP PKPP

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 15 Okt. – Polis Melaka mengeluarkan 521 kompaun kepada orang awam yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekitar negeri dalam tempoh 1 Oktober hingga kelmarin.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, daripada jumlah itu seramai 466 individu yang dikenakan kompaun adalah lelaki manakala selebihnya adalah wanita, yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 55 tahun.

Jelasnya, antara kesalahan lazim ditemui termasuk pekerja dalam premis perniagaan dan pelanggan tidak memakai pelitup muka dan peniaga premis tidak menyediakan pekerja untuk memeriksa suhu.

“Bagi operasi pada hari ini, kita mengeluarkan enam kompaun iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, yang keseluruhannya berusia antara 19 hingga 66 tahun menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini berjumlah 521 orang setakat ini,” katanya ketika ditemui dalam Operasi COVID-19 di Taman Muzaffar Shah, di sini.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, pihaknya turut menahan 48 individu termasuk 11 wanita kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial iaitu dipercayai berjudi di tempat awam.

“Mereka dikenakan tindakan berjudi di tempat awam dan dalam bangunan selain turut dikenakan kompaun.

“Semua 48 individu terbabit didapati melakukan aktiviti terlarang dalam tempoh PKPP,” katanya.

Views:

453
Kongsi :
Previous post COVID-19: Perancis isytihar darurat, kuat kuasa perintah berkurung
Next post Tumpahan minyak: Melaka buka kertas siasatan
Ubah saiz-+=