TYT dan isteri beraya bersama orang Kuala Linggi

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LINGGI 4 Mei – Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman
hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Rumah terbuka anjuran bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.

Antara kenamaan lain hadir pada majlis itu adalah EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara.

ADUN lain yang turut hadir adalah ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Machap, Ngwe Hee Sem; ADUN Merlimau, Dr Mohamad Akmal Saleh dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Malah kehadiran pelakon vateran tanah air Datuk Jalaluddin Hassan ke acara rumah terbuka itu turut mencuri tumpuan tetamu yang hadir.

Ternyata majlis rumah terbuka kali ini amat dinantikan pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun tidak dianjurkan susulan pandemik COVID-19 yang melanda.

Meskipun kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran namun tetamu yang hadir dilihat masih mengambil sikap berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka.

Sementara itu, ADUN Kuala Linggi Rosli Abdullah berkata, sambutan amat menggalakkan dan setakat jam 1 tengah hari dianggar lebih 2,000 tetamu singgah di rumah terbuka itu yang diadakan di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi.

“Hari ini tetamu yang datang saya lihat masih mengutamakan keselamatan diri malah turut memakai pelitup muka.

“Bagi saya apa yang penting pastikan diri sihat untuk hadir ke mana-mana rumah terbuka sekiranya ada gejala elakkan diri untuk menghadirkan diri ke sebarang majlis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post Tempoh kuarantin COVID-19 di Jerman hanya 5 hari
Next post Isu guru COS, KPM sedang ambil tindakan sewajarnya
Ubah saiz-+=