TYT Melaka bersama 1,000 jemaah tunai solat sunat Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

MELAKA 31 Julai – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, pagi ini.

Beliau yang lengkap berbusana baju melayu tiba di perkarangan masjid pada kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Hadir sama, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.

Sejurus tiba, Mohd Ali menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bertakbir raya.

Beliau bersama jemaah kemudiannya menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim Al-Hafiz dan mendengar bacaan khutbah Aidiladha.

Selepas itu, beliau menziarahi Makam Pahlawan Melaka di perkarangan masjid.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama solat sunat Aidiladha dilaksanakan dalam norma baharu berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Semua solat sunat Aidiladha yang diadakan diseluruh negara perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri.

Tinjauan di masjid berkenaan mendapati setiap jemaah telah diambil bacaan suhu dan mengikuti SOP yang ditetapkan.

Selain itu, pihak masjid juga tidak membenarkan bukan warganegara dan kanak-kanak memasuki masjid.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Kolej Matrikulasi dibuka Ogos, IPG pada September
Next post “Syukur dapat solat sunat Aidiladha”
Ubah saiz-+=