Sorting by

×

“Syukur dapat solat sunat Aidiladha”

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Julai – “Alhamdulillah kami bersyukur kepada Allah kerana berpeluang menunaikan solat sunat Aidiladha hari ini selepas tidak mampu berbuat demikian pada sambutan Aidilfitri Mei lalu.

“Walaupun terpaksa mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika bersolat, kami tetap gembira dapat berhimpun pada pagi raya untuk bersama-sama menunaikan solat berkenaan sebelum mendengar khutbah disampaikan khatib,” kata jemaah solat sunat Aidiladha, Baba Kechut, 92.

Beliau berkata, peluang berkenaan amat manis dan bermakna kerana sebelum ini umat Islam amat berhajat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Jika pada Aidilfitri lalu mereka menunaikan solat sunat hari raya berkenaan secara berjemaah di kediaman masing-masing, selain membaca khutbah sendiri, kali ini mereka berpeluang menjadi makmum dan mendengar khutbah disampaikan khatib.

Baba berkata, beliau teruja dapat hadir di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah di sini untuk menunaikan solat sunat Aidiladha selepas tidak dapat berbuat demikian pada Aidilfitri yang lalu.
“Alhamdulillah, kali ini Allah izinkan kita menunaikan solat sunat di masjid, tidak macam Aidilfitri yang lalu dan kesempatan ini seharusnya kita gunakan untuk mengucapkan berbanyak syukur kepada Tuhan.

“Saya berdoa agar wabak itu segera berakhir dan kita dapat menunaikan solat tanpa jarak satu meter lagi,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Sahak Mohd Shim, 63, berkata beliau teruja dapat berkumpul bersama sanak saudara dan anak kariah kampung berkenaan untuk menunaikan solat itu berbanding pada Aidilfitri lalu.

“Kali ini kita bersama-sama melaungkan takbir memuji kebesaran Ilahi dan bersyukur kerana mengizinkan kita menyambut Aidiladha dalam keadaan sama sekali berbeza dengan Aidilfitri lalu,” katanya.

Sementara itu, Imam II, Anas Abdul Mutalib yang juga khatib membacakan khutbah Aidiladha berkata, umat Islam harus bersyukur diberikan kesempatan untuk meraikan Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban dalam keadaan harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan
Agama Islam Melaka (JAIM).

Katanya, pandemik COVID-19 mempunyai pelbagai hikmah yang antara lain mendidik manusia agar sentiasa patuh pada perintah Allah dan menjauhi perkara yang dilarang agama yang menyebabkan mereka berdosa kepada Tuhan dan kepada sesama manusia.

Views:

410
Kongsi :
Previous post TYT Melaka bersama 1,000 jemaah tunai solat sunat Aidiladha
Next post JAIM terpaksa bertegas larang warga asing, kanak-kanak masuk masjid
Ubah saiz-+=