
UDANG GALAH ‘LUBUK’ REZEKI ANAK MUDA
REMBIA 22 Ogos – Sekumpulan belia mengusahakan ternakan udang galah di Kampung Sungai Petai, di sini, mahu membuktikan bidang akuakultur dan pertanian juga menjanjikan pendapatan lumayan, namun perlu diusahakan dengan tekun serta penuh kesabaran.
Fahmi Barakbah Mohamed Salleh berkata, projek menerusi inisiatif SejaTi MADANI itu diharap dapat membuka mata belia khususnya di Negeri Melaka mengenai potensi besar kedua-dua bidang berkenaan, sekali gus mengurangkan migrasi orang muda ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan.
Dia bersama sembilan lagi peserta lain diberi tanggungjawab untuk menjayakan projek sejak tahun lalu mengakui berhadapan pelbagai masalah sejak peringkat awal, namun atas semangat mahu berjaya semua rintangan itu dihadapi dengan penuh kesabaran.
“Hujung bulan ini insya-Allah kami akan dapat merasai kemanisan hasil titik peluh sejak beberapa bulan lalu apabila pelanggan akan datang untuk membeli stok hidup udang galah sudah matang. Harga jualan udang ini agak lumayan iaitu antara RM100 ke RM110 bagi satu kilogram (kg).
“Bagi perancangan jangka panjang kami akan melaksanakan penternakan menggunakan keadah usahasama bersama mereka berminat untuk melabur dalam projek ini. Hasil tuaian nanti akan dibahagikan 40 peratus untuk kami dan 60 peratus lagi kepada pelabur.
“Sekarang kami sedang berkira-kira untuk menambah jumlah kolam, jenis ternakan pula dikembangkan lagi kepada ikan keli dan haruan yang sebenarnya juga ada permintaan yang tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, hasil bimbingan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Melaka tidak mustahil hasil tuaian dapat ditingkatkan kepada 100kg setiap minggu pada masa akan datang.
“Ini adalah ‘pilot project’ sudah pasti banyak kekangan, tetapi kami yakin akan berjaya. Dengan adanya projek ini penduduk kampung juga mendapat tempias apabila ada kami membuka peluang pekerjaan sampingan seperti memberi makan kepada udang.
“Kadar upah tidak tinggi dan kena dengan tempoh bekerja yang cuma sekitar 30 minit sahaja sehari. Tetapi jika dikembangkan lagi sudah pasti lebih banyak yang kami dapat kongsikan bersama orang kampung,” katanya.
Sementara itu seorang lagi peserta, Muhammad Akmal Md Nor berkata, selain jualan stok hidup dia bersama rakan lain bercadang untuk menjalankan aktiviti pembiakan benih udang yang bukan sahaja dapat menjimatkan kos, bahkan mampu meningkatkan pendapatan.
“Dengan menghasilkan benih sendiri kita boleh menghasilkan tuaian lebih tinggi, kos pula dapat dikurangkan. Benih yang ada juga boleh dijual kepada pengusana lain atau mana-mana pihak berminat,” katanya.
Setakat ini projek itu melibatkan 30 unit kolam kanvas yang menempatkan udang galah bermula daripada anak benih kepada stok hidup yang sedia untuk dijual kepada pelanggan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.