Ujian COVID-19 bagi tiga kategori pengembara luar negara digugurkan mulai 3 Mac

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) yang ditetapkan seperti sebelum ini selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur baharu itu terpakai untuk pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat Malaysia-Singapura, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Kementerian Kesihatan telah memutuskan untuk menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan selain daripada keperluan menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan bagi ketiga-tiga kategori program.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

Selain itu, Khairy berkata KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib.

Katanya keperluan Pegawai Pengiring bagi pelawat perniagaan jangka pendek Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia turut digugurkan, namun mereka masih perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan oleh Jawatankuasa OSC.

“Walaubagaimanapun, ujian pengesanan COVID-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post Kemudahan akses buat OKU dapat bantu tingkat kualiti hidup – Ras Adiba
Next post Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu meningkat, Kelantan menurun
Ubah saiz-+=