UMNO beri laluan kepada MCA tanding Parlimen Tangga Batu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 1 November – UMNO Bahagian Tangga Batu bersedia memberi laluan kepada calon MCA yang dikatakan akan diletakkan di Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Bahagian tersebut, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, beliau yakin akar-umbi UMNO di kawasan itu akan memberi sokongan penuh kepada apa jua calon Barisan Nasional (BN) meskipun kerusi berkenaan sebelum ini merupakan kerusi tradisi UMNO.

“Apa yang penting bagi kita bukan calon itu sendiri tetapi parti yang diberikan amanah untuk memenangi PRU15 ini bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan di pusat nanti.

“Kami telah sebulat suara menerima keputusan dibuat oleh Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA di Parlimen Tangga Batu ini kerana sebagai ahli dan pendukung parti, kami bersedia bekerja untuk sesiapa (calon) sahaja yang diarahkan pucuk pimpinan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun sebelum ini namanya disebut-sebut sebagai calon yang akan diketengahkan namun, parti mempunyai aturan yang lebih konkrit dalam soal pemilihan calon.

Tambahnya, beliau percaya kerusi yang pernah terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu itu mampu dirampas semula oleh calon MCA yang akan dipertaruhkan meskipun peratusan pengundi Cina dikawasan itu hanya 24 peratus.

“Pada saya kerja yang dilakukan di Parlimen ini bukan sahaja saya seorang tetapi semua rakan-rakan dalam kepimpinan UMNO bahagian ini yang mana kita bekerja bukan demi untuk meletakkan seseorang calon semata-mata tetapi kita ingin mengangkat parti itu sendiri.

“(Jadi) tidak timbul soal tidak puas hati kerana dalam mesyuarat baru-baru ini semua 70 ketua cawangan dalam Bahagian Tangga Batu ini sebulat suara untuk kita bekerja dan pastikan kemenangan BN,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Parlimen Tangga Batu dimenangi calon PKR Rusnah Aluai yang menewaskan calon BN, Zali Mat Yasin dan calon Pas, Zulkifli Ismail dengan majoriti 4,659 undi.

Difahamkan, pada PRU15, PKR sekali lagi mempertaruhkan Rusnah sebagai calon untuk mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Perikatan Nasional (PN) bakal meletakkan calon dari PAS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4359
Kongsi :
Previous post Serah kertas penamaan calon bermula 9 pagi Sabtu ini – SPR
Next post Kadar subsidi telur ayam naik dua sen berkuat kuasa hari ini
Ubah saiz-+=