UMNO enggan menang dengan cara ‘tunggang’ masalah orang lain

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BUKIT KATIL 21 Okt. – UMNO tidak akan sesekali menunggang permasalahan pihak di ‘sebelah sana’ untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tegas Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kemenangan UMNO harus bersandarkan kepada kebolehan jentera parti itu untuk mentadbir semula negara.

“Kita merasakan bahawa potensi kita sangat besar (dalam PRN) berdasarkan kepada permasalahan pihak ‘di sebelah sana’ yang sudah tentu ada masalah sendiri.

“Tetapi kemenangan kita bukanlah dengan menunggang permasalahan orang lain, tetapi ia harus bersandar kepada kebolehan kita sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan kepimpinan UMNO Bahagian di Pejabat UMNO Hang Tuah Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas kesiapsiagaan parti itu menjelang PRN, katanya, semua jentera seluruh negara akan dimobilisasikan bagi membantu PRN Melaka.

Katanya, setiap jentera yang turun haruslah menggunakan pendekatan berbeza bagi memastikan pengundi-pengundi di Melaka menerima ‘hidangan’ baharu dari UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya juga berpesan kepada jentera supaya jangan pernah ambil mudah kepada kesiapsiagaan yang harus dipertingkatkan kerana walaupun PRN ini hanya diperingkat negeri, tetapi jentera semua parti yang menawarkan diri datang dari seluruh negara.

“Jadi, pendekatan yang harus diartikulasikan bukan dibuat secara konvensional atau secara sembarangan,” katanya lagi.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post Bertutur dalam Bahasa Melayu resepi kejayaan P Selvi juara pidato
Next post Buat persediaan awal hadapi banjir – JPS
Ubah saiz-+=