UMNO mahu kekal di Parlimen Masjid Tanah – Rauf

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA, 4 Jan – UMNO Bahagian Masjid Tanah bercadang mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bahagian yang diadakan semalam.

Katanya, UMNO tidak menghalang Parti Pribumi Melayu Bersatu (BERSATU) bertanding di kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU-14 menjelang PRU-15 tetapi bertegas akan meletakkan calon UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi calon BN dari UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin sebelum keluar UMNO untuk menyertai BERSATU.

“Kalau BERSATU hendak pertahankan kerusi Parllimen Alor Gajah yang dimenanginya, silakan dan kalau BERSATU hendak pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Telok Mas, juga silakan.

“Tetapi kita tidak akan membenarkan BERSATU bertanding di Parlimen Masjid Tanah dan kita mengambil ketetapan Masjid Tanah kekal dalam tangan UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabirin Jaafar dan calon PAS, Mohd Nasir Othman tetapi keluar UMNO dan menyertai BERSATU pada 13 Disember 2018.

Ab Rauf juga berkata, menjelang PRU-15, UMNO bahagian itu mahu kerjasama parti itu dengan PAS dalam Muafakat Nasional diperkukuh tetapi kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional harus dikaji semula berdasarkan keputusan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka menegaskan, PAS tidak perlu bimbang dengan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional kerana ia sudah terbukti membawa kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya kecil dan diyakini mampu membuahkan hasil yang baik pada PRU-15.

“Menjelang PRU-15, saya lihat kerjasama dalam Muafakat Nasional menjadi formula kebangkitan kita demi bangsa dan agama kita dan kita akan menjadi rakan kongsi terbaik,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya PRU-15 segera diadakan bagi membolehkan kedua-dua parti itu dan gabungan parti dalam BN memperoleh mandat penuh rakyat untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, UMNO yakin mampu menambah kerusi di negeri ini pada PRU-15 berbanding 17 kerusi sedia ada yang membolehkan kerajaan PH ditumbangkan pada Mac 2020.

Sementara itu, Mas Ermieyati menegaskan untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU-15.

Katanya, beliau masih menunggu maklum balas pimpinan dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya akan maklumkan sekiranya sudah mendapat jawapan daripada pucuk pimpinan dan presiden parti,” katanya menerusi kenyataan dari sumber portal Berita Harian.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post HSR: Melaka masih berharap
Next post Kaki pancing ‘bertopeng’ rebut hadiah tahun baharu
Ubah saiz-+=