Kaki pancing ‘bertopeng’ rebut hadiah tahun baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG, 4 Jan – Seramai 200 kaki pancing berentap dalam Cabaran Memancing Empangan Sungai Pulau Gadong yang dianjurkan bersempena sambutan tahun baharu 2021, yang berlangsung semalam.

Memandangkan negara masih berperang dengan pandemik COVID-19, pertandingan memancing yang dianjurkan itu memilih konsep norma baharu dengan peserta diwajibkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal satu meter setiap seorang.

Pertandingan anjuran Joran Unggul Event Management dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM9,000.

Ia diadakan bukan sahaja bertujuan untuk merancakkan semula sub sektor pelancongan memancing (Angling Tourism), bahkan pada masa sama turut membantu dalam menggiatkan lagi ekonomi penduduk kampung yang terdiri daripada peniaga-peniaga kecil makanan.

SELAIN keli, ikan bulan turut dinaikkan para peserta.

Sejak hon permulaan dibunyikan pada jam 9 pagi, boleh dikatakan ikan keli mendominasi tangkapan peserta. Sesekali ada juga peserta mendaratkan ikan bulan, spesies ikan air payau (muara) di sungai berkenaan.

Di akhir pertandingan menyaksikan penduduk tempatan, Zaidi dinobat juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta hadiah iringan.

Dia yang menaikkan ikan keli seberat 1.855 kilogram (kg) seakan tidak percaya dengan kemenangan tersebut dan menyifatkannya sebagai hadiah tahun baru bermakna untuk dirinya.

“Semua orang masuk pertandingan untuk menang. Tapi tak sangka pula kali ini rezeki menjadi milik saya. Mula-mula saya tidak letak harapan yang tinggi, namun apabila mengetahui ikan yang dipancing itu merupakan tangkapan terberat pertandingan, saya bersyukur,” ujarnya.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing menjadi milik Nizam dan Zulfakar yang juga mendaratkan ikan keli seberat 1.785kg dan 1.640 kg.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM300.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Pengerusi Penyelaras JAPERUN Klebang merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang hadir menyempurnakan upacara penutup program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohd Diah yang turut berbesar hati menyumbang hadiah iringan kepada pemenang.

Views:

869
Kongsi :
Previous post UMNO mahu kekal di Parlimen Masjid Tanah – Rauf
Next post Jangan bahayakan diri redah banjir – Bomba
Ubah saiz-+=