UMNO tolak BERSATU hanya pandangan peribadi- Ahmad Faizal

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

ALOR GAJAH 10 Okt. – Pendirian UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika diadakan nanti, adalah pandangan peribadi beberapa pemimpin dari parti itu, dakwa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, BERSATU sentiasa mengamalkan politik yang tidak bermusuhan dan kasih sayang dalam perjuangannya.

“Kita bersama dengan sesiapa juga di luar sana yang mengikuti atau bersama dengan perjuangan kita tu.

“Jadi kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili.

“Dalam hidup ini memang kadang-kadang ada orang nak kawan dengan kita dan kadang-kadang sebaliknya. Mungkin kerana cemburu sebab kehebatan serta kelebihan yang ada pada kita.

“Jadi nak menjawab kepada soalan itu, most people, kebanyakan pemimpin di atas sana tak ada masalah untuk bekerjasama mungkin ada satu dua orang yang tak bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Alor Gajah di A’ Famosa Resort, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah; Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, partinya sedia membuka rundingan bagi bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN termasuk UMNO.

“Kita sentiasa buka pintu rundingan dengan sesiapa juga yang mana kami mengamalkan politik yang mesra dan berkasih sayang.

“Kita tak nak bergaduh dengan orang dan memaafkan serta berbaik dengan sesiapa juga,” katanya.

Media tempatan melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRN akan datang.

Pendirian itu susulan pengumuman pembubaran (Dewan Undangan Negeri) DUN Melaka, malah bersetuju bahawa PRN akan menjadi ujian untuk membuktikan bahawa UMNO tidak memerlukan BERSATU untuk memenangi pilihan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

668
Kongsi :
Previous post Hujan ‘iringi’ peserta kayuhan HSNAG 2021
Next post KM jelas isu royalti pengeluaran pasir laut
Ubah saiz-+=