Unimel perlu jadi pusat R&D teknologi Islam

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 17 November – Universiti Melaka (Unimel) perlu melangkah kehadapan sebagai sebuah universiti islam yang mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam keperluan sumber manusia dan teknologi Islam.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus membuktikan universiti itu mampu membuka langkah berani kehadapan sebagai pusat sumber teknologi yang membekalkan keperluan sumber manusia yang pastinya mampu menarik lebih banyak pelabur pada masa akan datang.

“Setelah Unimel diselaraskan sebagai universiti kita mahukan universiti ini melangkah selangkah ke hadapan kepada satu dimensi baharu iaitu sebagai universiti yang berlandaskan teknologi Islam di Melaka.

“Kita percaya teknologi yang digunakan di dunia ini berpunca daripada Islam dan kajian perlu dibuat berdasarkan teknologi Islam ini lah yang memacu dunia hari ini tanpa kita sedari sejak zaman Ibun Khaldun mahupun Ibnu Sina.

“Kalau kita tengok tentang sumber manusia yang dilahirkan daripada universiti-universiti di Melaka sudah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur untuk masuk ke negeri ini jadi Unimel kena atur langkah berani untuk menjadikan sebagai pusat sumber teknologi dalam membekalkan sumber manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel dalam Program Santai Bersama Warga Universiti Melaka mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sesi dialog itu turut dihadiri Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Unimel perlu mengambil contoh R&D dijalankan Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) yang telah banyak membawa manfaat positif dalam pembangunan perindustrian di Melaka.

Ujarnya, sekiranya hasrat itu mampu dilaksanakan Unimel, ia sekali gus mampu membawa perubahan ekonomi dalam bidang pendidikan di kawasan utara Melaka sekali gus membawa keyakinan pelabur ke kawasan itu.

“Ia amat baik dilaksanakan disebelah utara Melaka dengan menjadikan Unimel sebagai sebuah pusat rujukan kajian dan juga penyelidikan dan pembangunan dalam apa jua bidang untuk kita menjadikan sebagai persediaan menghadapi limpahan ekonomi di kawasan ini.

“Saya melihat seperti pembangunan dalam penyelidikan ilmu falak atau ilmu kajian angkasa boleh dijadikan sebagai contoh penyelidikan di universiti ini kerana ini akan menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3859
Kongsi :
Previous post PRU15: Tujuh kertas siasatan dibuka
Next post BN sasar peroleh kemenangan ‘4 plus 1’
Ubah saiz-+=