UPDATE BANJIR : 242 mangsa terjejas banjir dipindahkan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JASIN 20 Nov. – Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka daerah Jasin menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan akibat banjir di daerah Jasin seramai 188 orang.

Di daerah Alor Gajah, seramai 54 mangsa banjir yang terdiri daripada 13 keluarga turut dipindahkan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, setakat ini dua PPS dibuka di daerah itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel manakala satu lagi PPS SK Tedong ditutup pada jam 9 pagi tadi.

Katanya, setakat ini seramai 46 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan berkenaan namun jumlah itu dijangka meningkat berikutan pendaftaran mangsa banjir masih dijalankan.

“PPS SK Tehel mula dibuka pada jam 8 pagi tadi dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi sebanyak 26 keluarga membabitkan 115 mangsa.

“Manakala jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SMK Dang Anum membabitkan 20 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 73 orang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, selain daerah Jasin, turut terjejas banjir adalah daerah Alor Gajah membabitkan kawasan Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai di Durian Tunggal.

“Setakat ini hanya satu PPS dibuka di daerah itu iaitu SK Durian Tunggal dengan jumlah mangsa yang dipindahkan sebanyak 13 keluarga yang terdiri daripada 54 mangsa,” katanya.

Views:

317
Kongsi :
Previous post Banjir terburuk sejak tujuh tahun lalu
Next post 422,609 peminjam PTPTN meneruskan bayaran balik pinjaman
Ubah saiz-+=