Sorting by

×

URUS BANJIR, PERKASA PENDIDIKAN ANTARA 6 PENCAPAIAN UTAMA WRUR REMBIA

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

REMBIA 16 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang berlangsung selama dua minggu bermula 3 Ogos lalu telah menjelmakan enam pencapaian utama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, enam pencapaian itu merangkumi pengurusan risiko banjir dan saliran; perkukuh infrastruktur pendidikan dan memperkasa perkhidmatan dan fasiliti kesihatan.

Selain itu, jelas beliau, WRUR Rembia turut memberi fokus kepada menyemai kebajikan dan kesejahteraan komuniti; menyedia infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyat serta transformasi melalui Kampung Digital.

Ujar Ketua Menteri, dalam aspek pengurusan banjir, sebanyak RM17 juta telah diperuntukkan melalui Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah, yang dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan seluas 418 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Selain itu, menurut beliau, kerja-kerja pemulihan tebing Sungai Melaka di Kampung Pengkalan yang menelan kos RM1 juta sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada November tahun ini.

Sebagai langkah pencegahan berterusan, beliau turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan di tiga batang sungai utama iaitu Sungai Rembia, Sungai Petai dan Sungai Kelemak turut dilaksanakan dengan peruntukan RM190,000, demi memastikan aliran lancar dan risiko banjir dapat diminimumkan.

“Dalam aspek pemerkasaan pendidikan, beberapa projek telah dilaksana antaranya, pembinaan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah bernilai RM15.9 juta dan bangunan baharu Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin berjumlah RM15.8 juta.

“Menyedari kepadatan pelajar di kawasan ini, Kerajaan Negeri juga telah mengusulkan pembinaan sebuah sekolah menengah kebangsaan baharu ke peringkat kerajaan Persekutuan dan insya-Allah, kita akan berusaha memastikan ia tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Pada masa sama, Kerajaan Megeri turut bersetuju untuk membina Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Rembia dan Tadika Kampung Sungai Petai sebagai projek pembangunan berimpak tinggi pada tahun hadapan, selain lebih RM90,000 diperuntukkan JAIM bagi kerja naik taraf dua SRA JAIM di DUN Rembia dan Sekolah Menengah Arab Al-Faizin di Jelatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Rembia dan Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Keris, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Bercakap soal kesihatan dan kesejahteraan rakyat, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM8.6 juta melalui Jabatan Kesihatan Melaka bagi menaik taraf Dewan Bedah Kedua di Hospital Alor Gajah, yang dijangka siap pada April 2026.

Selain itu, jelas beliau, struktur bumbung Klinik Ibu dan Anak di Klinik Kesihatan Alor Gajah juga telah diluluskan untuk pembaikan dengan kos RM1.4 juta manakala RM435,000 bagi kerja-kerja membaiki kerosakan akibat kulat di Klinik Kesihatan Rembia.

“Berkait kebajikan, menerusi WRUR, sejumlah RM1.15 juta telah disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 438 penerima Skim Orang Kurang Upaya (OKU) di Rembia.

“Selain itu, RM37,000 diperuntukkan bagi Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang Dewasa kepada lebih 100 penerima, manakala Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar melibatkan kos sebanyak RM26,000.

“Pada masa sama, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) turut menyalurkan RM80,000 di bawah Program Baik Pulih Rumah Daif untuk empat keluarga yang layak,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, secara keseluruhan, sepanjang dua minggu berlangsungnya WRUR DUN Rembia, Kerajaan Negeri telah
menganjurkan sebanyak 168 program dan
berjaya menyelesaikan 145 aduan, manakala selebihnya masih dalam tindakan dan pemantauan pihak berwajib.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post 1,500 GAMATKAN SEMARAK REMBIA NEON WALK DATARAN KERIS