Usaha mencari Irwan masih diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 21 Jan. – Pasukan keselamatan terbabit dalam Op Benteng tidak berputus asa mengesan nelayan Irwan Radjab, 47, yang hilang di laut sejak 13 Januari lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) khusus di perairan Melaka sudah ditamatkan Selasa lalu, usaha mencari Irwan masih diteruskan selepas mayat lelaki dipercayai rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, ditemukan di Kampung Telok Lechah, Pulau Rupat Indonesia semalam.

Katanya, menerusi operasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengekang kemasukan PATI ke negara ini, usaha mencari nelayan terbabit turut diberi perhatian.

“Hari ini kami dimaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia menziarahi mayat lelaki yang kita yakin Ahmad Norizan di Rumah Sakit Dumai.

“Berdasarkan lokasi mayat itu ditemukan penduduk kampung di pantai, ia hanyut kira-kira 39 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu iaitu tempat mereka keluar menangkap ikan pada 13 Januari lalu,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Taklimat Op Benteng kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki di Markas Taktikal PPM Kuala Linggi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Terdahulu, Mohd Ali menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Melaka-Negeri Sembilan berhampiran Jambatan Kuala Linggi, di sini.

Harris berkata, jika ada sebarang perkembangan mengenai penemuan Irwan di wilayah Indonesia, beliau yakin Polis Republik Indonesia (Polri) akan memberikan maklumat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan untuk disampaikan kepada pihak berkuasa di negeri ini.

“Mengenai penemuan mayat, setakat ini belum ada maklumat sama ada bedah siasat sudah dilakukan atau belum,” katanya.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Azwan buat hal lagi?
Next post Tujuh negeri sambung PKP
Ubah saiz-+=