UTeM garis lima teras ke arah jadi universiti teknikal terkemuka dunia

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 November – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewujudkan lima teras strategik (ST) dalam mencapai visi menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia.

Naib Canselornya Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, lima teras itu diyakini berupaya mengangkat UTeM di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi ‘menjajar universiti, melonjak ke hadapan’ yang diperkenalkan.

Katanya, lima teras itu ialah memperkasakan TVET, meluncur kerjaya; mempromosikan RICE, menjana pendapatan; menjuarai khidmat insani, mengundang kesejahteraan; mencetuskan ekosistem rancak, melestarikan universiti; dan mengembangkan nilai, menggamit kemakmuran.

“Lima teras ini telah dirangka dengan teliti dan mengambil kira segala aspek keperluan dan kepentingan, bagi memastikan masa depan universiti terus berdaya saing, relevan, menepati kehendak pemegang taruh dan lebih terserlah di peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Dalam usaha merintis teknologi masa hadapan, UTeM telah membangunkan gerak kerja yang dinamik dan berstrategik, agar aspek penyelidikan dan inovasi terus makmur serta terkehadapan.

“Menerusi kepakaran yang dimiliki oleh hampir 800 orang ahli akademik yang berwibawa, pelbagai ciptaan inovasi bercirikan teknologi termaju telah berjaya menjulang pelbagai kejayaan, di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa, seperti di Malaysia Technology Expo 2022 apabila UTeM berjaya meraih tujuh pingat emas, enam pingat perak, dua pingat gangsa dan dan anugerah khas iaitu Outstanding Innovation Award,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-18 UTeM di Dewan Canselor UTeM, 5 November lalu.

Majlis yang meraikan 3,149 graduan pelbagai peringkat itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM.

Dalam pada itu, Massila berkata, sepanjang tahun ini, UTeM turut menyahut saranan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap pelaksanaan Tahun Kebajikan Pelajar.

Jelasnya, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat bantuan yang sepatutnya demi memastikan keselesaan dan kemudahan pelajar untuk menjalani pengajian sepanjang berada di UTeM.

“Antaranya yang telah dilaksanakan ialah Program Anak Emas kepada tiga orang pelajar iaitu tajaan pengajian berjumlah RM90,334. Tajaan ini adalah kepada dua pelajar Ijazah Sarjana Muda dan seorang pelajar Diploma yang berfokus untuk membantu pelajar-pelajar dalam kalangan B40.

“Selain itu, UTeM turut menyediakan bantuan TUAHCARE: Food@Campus melibatkan makan minum pelajar asnaf dan B40 bersasar seramai 1,500 orang dan bantuan bayaran zakat oleh pihak Tabung Haji sebanyak RM600,000.

“Pada masa sama, pemberian Peranti Siswa Keluarga Malaysia kepada 5,478 pelajar UTeM dan bantuan keusahawanan pelajar melalui Bank Rakyat Unipreneur kepada Pelajar B40 bersasar berjumlah RM107,250 turut diadakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4607
Kongsi :
Previous post Melaka salur peruntukan hampir RM600,000 untuk rumah ibadat bukan Islam
Next post Qi Yao mahu indahkan Kampung Chetti
Ubah saiz-+=