Qi Yao mahu indahkan Kampung Chetti

KOTA MELAKA 7 November – Penyelenggaraan landskap dan sistem perparitan di Kampung Chetti akan diberi tumpuan demi keselesaan penduduk di penempatan itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Parlimen Kota Melaka, Kon Qi Yao berkata, kerja-kerja mengindahkan penempatan itu sudah dimulakan sebelum sambutan Deepavali lalu.

Qi Yao berkata, sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) beliau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turun padang untuk bersama-sama mendengar pemasalahan rakyat.

“Sebelum ini penduduk ada suarakan beberapa pemasalahan, termasuk besi penghadang longkang yang uzur dan membahayakan kanak-kanak, berikutan itu MBMB sudah diminta untuk gantikan kemudahan itu dengan yang baharu.

“Malah sebelum Deepavali juga kita sudah pasang lampu warna-warni di laluan kampung berkenaan dan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan sekitar, sekali gus menceriakan lagi suasana,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau, menyedari penempatan itu kerap berlaku banjir apabila hujan lebat berpanjangan, berikutan itu pihaknya akan memastikan penyelenggaraan rumah pam dilakukan segera.

“Saya dimaklumkan, perkara ini sudah diambil maklum dan dijangka ia akan dibaiki pada tahun hadapan termasuk juga sistem perparitan di kawasan sekitar.

“Perkara-perkara ini memang dalam perhatian dan saya akan cuba membantu agar ia dapat dipercepatkan demi keselesaan penduduk,” katanya.

Dia yang mesra disapa Ah Kon memulakan hari kedua berkempen dengan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung Pasar Kota Laksamana, sebelum ke Medan Selera Tengkera dan ke gerai sarapan pagi popular di Melaka iatu Mee Goreng Hasan Tengkera sebelum menyantuni penduduk sekitar Kampung Chetti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

611
Previous post UTeM garis lima teras ke arah jadi universiti teknikal terkemuka dunia
Next post PRU15: CUEPACS cadang cuti umum khas 18 November, mudahkan rakyat balik mengundi