Sorting by

×

UTeM tangguh pendaftaran, pembelajaran fizikal

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 2 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menangguhkan sementara sesi pendaftaran secara fizikal pelajar baharu ke kampus berkenaan selaras dengan kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.

UTeM dalam satu kenyataan memaklumkan pendaftaran bagi sesi baharu hanya akan diadakan secara atas talian, begitu juga dengan sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan menggunakan kaedah sama (atas talian) sehingga pengumuman baharu dibuat.

“Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus UTeM. Bagi pelajar Pasca Siswazah yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelidikan di makmal, mereka masih boleh meneruskan penyelidikan, namun perlu mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa.

“UTeM juga akan menangguhkan semua program dan aktiviti yang melibatkan perhimpunan seperti yang dicadangkan KPT,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, KPT mencadangkan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baru dan lama ke kampus masing-masing.

Menurut KPT, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran, sehingga ada pengumuman mengenainya dilakukan.

Views:

1525
Kongsi :
Previous post Hanya 97 orang penghantar makanan di Melaka daftar PERKESO
Next post 287 kes COVID-19 hari ini, tertinggi sejak penularan pandemik di Malaysia
Ubah saiz-+=