Hanya 97 orang penghantar makanan di Melaka daftar PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN BATU 2 Okt. – Hanya kira-kira 20 peratus sahaja penghantar makanan melalui perkhidmatan e-hailing di negeri ini berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat September 2020.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah PERKESO Melaka Abd Razak Omar yang menyifatkan tahap kesedaran orang ramai masih lagi di tahap rendah sejak skim berkenaan diperkenalkan.

Menurutnya, di Melaka sahaja terdapat kira-kira 650 orang penghantar makanan, namun yang berdaftar hanyalah 97 orang sahaja setakat ini.

“Jadi saya mengharapkan semua rider-rider bukan sahaja di negeri ini bahkan di seluruh Malaysia dapat berdaftar dan mencarum dengan PERKESO.

“Kita sedih apabila mendengar saban hari banyak berlaku kemalangan terutama membabitkan ‘rider’. Memang sangat sedihlah bila berlaku seperti ini. Kalau tidak mendaftar memang kita tidak boleh bantu apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi rumah waris arwah Zulkifle Musiran, seorang penghantar makanan dari golongan orang kelainan upaya (OKU) yang meninggal dunia akibat kemalangan, baru-baru ini.

Zulkifle mengalami kemalangan pada 27 September lalu apabila bergesel dengan sebuah lagi motosikal di bulatan Dataran Klebang dan meninggal dunia sehari selepas itu.

Arwah meninggalkan isteri yang juga golongan OKU pekak pendengaran dan bisu yang mengandung lima bulan bersama empat lagi anaknya yang masih kecil.

Menurut Abd Razak, hasil daripada kesedaran arwah mencarum SKSPS, warisnya mendapat faedah keseluruhan sebanyak RM1,494.00 sebulan melalui Faedah Orang Tanggungan di bawah SKSPS dan Faedah Penakat, selain turut menerima Faedah Pengurusan Mayat secara ‘one-off’ berjumlah RM2,000.

“Faedah ini akan diberikan kepada isteri arwah untuk sepanjang hayat dan kepada anak-anak, bahagian mereka akan diberikan sehingga mereka berumur 21 tahun.

“Diharap kes seperti ini dapat membuka mata kepada penghantar makanan di luar sana untuk datang dan berdaftar dengan PERKESO,” katanya lagi.

Views:

427
Kongsi :
Previous post Latihan atlet SUKMA Melaka tidak terganggu
Next post UTeM tangguh pendaftaran, pembelajaran fizikal
Ubah saiz-+=