Sorting by

×

BURU MADU LEBAH, BIAK BAKA KAMBING ‘HEALING’ CARA IMAM RASIP

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

MACHAP JAYA 20 Mei – Memburu madu lebah, membiak baka kambing dan melakukan kerja kampung termasuk menoreh getah menjadi aktiviti kegemaran Imam Rasip Abu Noh, kini menjangkau usia 55 tahun.

Imam II Majis Al-Ikhwan, Kampung Kemuning, Machap Jaya ini berkata, dia tidak kekok untuk melakukan semua kerja kampung itu kerana sudah terbiasa hasil daripada pergaulan dengan rakan lebih tua pada usianya sejak belasan tahun lagi.

Katanya, mencari madu lebah dan membiak baka kambing pada asalnya adalah pekerjaan sampingan bagi menambah pendapatan selain mengharapkan gaji bulanan hasil bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang memasang kenderaan di Pegoh, Alor Gajah.

“Apabila sudah pencen kedua-dua aktiviti ini menjadi pekerjaan utama saya selain tanggungjawab sebagai imam II di masjid. Madu dan daging kambing kedua-duanya adalah makanan sunnah yang semakin mendapat perhatian dan permintaan tinggi dalam kalangan Muslim di Melaka.

“Junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga pernah mengembala kambing, Rasulullah juga menggemari madu. Lebih penting kedua-dua aktiviti atau pekerjaan ini melatih seseorang untuk menjadi individu yang penyabar, bela kambing banyak dugaan terutamanya penyakit kerana ternakan ini boleh mati secara tiba-tiba jika tidak kena cara menguruskannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, memburu madu lebah juga amat memerlukan kesabaran kerana tugas menjejak dan mengesan sarang serangga pemakan nektar itu memerlukan tahap pemerhatian serta penelitian amat tinggi.

Anak jati Alor Gajah itu berkata, mencari madu bukan boleh selalu atau sepanjang tahun dan dilakukan pada musim bunga sahaja.

“Semuanya bergantung kepada rezeki, mungkin hari ini pulang dengan tangan kosong, esok perlu masuk semula dalam hutan.

“Tetapi sebagai seorang yang membesar dalam suasana kampung ini adalah cara saya mencari kepuasan dalam kehidupan tanpa mengabaikan tuntutan tugas kepada komuniti dan agama,” katanya.

Rasip berkata, madu lebah asli bukan sahaja dilabel sebagai makanan sunnah tetapi mempunyai khasiat yang amat berfaedah jika diambil bagi tempoh jangka masa panjang terutama bagi mereka menghidap diabetes.

Kemuning 2
RASIP melakukan proses mengasingkan madu yang baru dikutip.

Pada kebiasaan madu lebah siap diproses dan dibotolkan tidak disimpan lama di rumahnya kerana sudah ada individu yang sedia untuk membelinya berikutan diyakini asli selain tidak dicampur dengan bahan pemanis lain yang menghilangkan khasiatnya.

“Ramai menawarkan madu lebah di pasaran, kononnya asli tetapi sebenarnya ada yang dicampur dengan bahan lain seperti air gula dan sebagainya. Perbuatan seumpama ini memberikan kesan tidak baik, kerana mereka yang mengamalkan madu sebenarnya mahu menjaga kesihatan,” katanya.

Berkongsi pengalaman mengenai aktiviti pembiakan baka kambing Rasip berkata, dia bermula secara kecil-kecilan pada 2004 sebagai persediaan untuk bersara daripada perkhidmatan swasta kerana sedar tidak mempunyai pencen seperti rakan di sektor awam.

“Saya bela cuma dua tiga ekor sahaja, belajar cara menguruskan kambing, mengenal penyakit dan kaedah merawatnya. Syukur sekarang pada satu-satu masa kandang saya mempunyai sekitar 30 ekor kambing, tidak terlalu banyak tetapi memadai untuk menampung permintaan daripada pelanggan.

“Kebiasannya pelanggan yang datang adalah pasangan baru mendapat cahaya mata, mereka mahu buat majlis aqiqah. Kemahiran menyembelih, melapah dan mencincang daging kambing menjadi kelebihan saya, ramai pelanggan selesa dengan cara ini menjimatkan masa serta urusan mereka.

“Apabila semuanya sudah siap pelanggan cuma datang ambil kambing untuk dimasak, atau lebih mudah ambil sekali pakej katering yang saya sediakan, lauk dimasak mengikut kehendak mereka sudah siap untuk dihidangkan kepada tetamu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post MPHTJ LAHIRKAN WARGA KERJA MAHIR KENDALI KES KECEMASAN