Sorting by

×

TILAPIA MERAH ‘LUBUK REZEKI’ ORANG KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP JAYA 20 Mei – Peruntukan menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Felda Menggong dalam memperkasa sektor penternakan sekali gus menjana sumber ekonomi baharu komuniti setempat.

Antara yang diusahakan ialah penternakan ikan tilapia merah yang bukan sahaja memberi pulangan lumayan, bahkan memberi manfaat besar kepada komuniti dalam sudut sumber protein.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Solok Menggong Untong Dollah berkata, seramai tiga peserta terlibat secara langsung dalam projek berkenaan yang telah berjaya mengeluarkan lebih satu tan hasil ternakan sejak ia diusahakan.

“Menerusi peruntukan SejaTi MADANI berjumlah RM22,000 ini, peserta projek telah menggunakannya bagi menaik taraf kolam ikan, selain membawa masuk 70,000 benih ikan tilapia merah untuk diternak.

“Alhamdulillah, projek ini menunjukkan hasil memberangsangkan apabila ternakan semakin berkembang dan mampu memenuhi permintaan penduduk kampung serta kawasan sekitar.

“Ikan bersaiz antara 300 hingga 400 gram seekor dijual pada harga sekitar RM14 sekilogram, sekali gus menawarkan pilihan lebih murah dan segar kepada pengguna,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Dolah, selain ternakan ikan, peruntukan SejaTi MADANI itu turut disalurkan kepada penternakan lembu dan kambing di kawasan itu yang digunakan bagi membeli haiwan ternakan dan menaik taraf kandang.

Katanya, sama seperti ikan, penduduk kampung juga mendapat nikmat daripada projek penternakan tersebut apabila dapat membeli daging segar pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Di sini, harga sebekas daging segar seberat 1.6 kilogram (kg) hanya RM40, manakala sebekas tulang seberat 1.8kg dijual pada harga RM48,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post JKKN GILAP BAKAT, ASUH ANAK MELAKA CINTAI SENI