Sorting by

×

JKKN GILAP BAKAT, ASUH ANAK MELAKA CINTAI SENI

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 20 Mei – Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka diteruskan dengan penyertaan 150 peserta dalam pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan yang disediakan.

Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata, program itu menjadi platform terbaik bagi menyerlahkan bakat peserta dalam kalangan kanak-kanak serta remaja melibatkan seni tari, seni lakon (teater) dan silat.

Ezlina berkata, PBHM adalah inisiatif JKKN dalam memperluas asuhan dan kemahiran seni budaya bagi pembangunan modal insan seawal usia kanak-kanak.

“Bertempat di Kompleks JKKN, latihan ini diberikan secara percuma kepada peserta dan sepanjang penganjuran kami menerima sambutan amat menggalakkan. Pada tahun ini kami menerima 150 peserta bagi ketiga-tiga kelas dan pengambilan untuk peserta baru sentiasa terbuka.

“Kelas yang berlangsung pada hujung itu dikendalikan oleh tenaga pengajar yang juga artis budaya JKKN dan jurulatih yang diiktiraf misalnya untuk seni tarian ia bimbingan oleh Cikgu Che’ Wan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ezlina, peserta PBHM turut diberi pendedahan untuk turut serta dalam persembahan bagi program-program anjuran agensi mahupun Kerajaan Negeri.

“Ini secara tidak langsung memberi pengalaman kepada peserta untuk menyerlah bakat mereka selain meningkat tahap keyakinan.

“Menarik bukan sahaja anak-anak atau peserta yang memberikan sepenuh komitmen malah ibu bapa juga amat teruja apabila turut bersama-sama menyiapkan anak-anak apabila ada persembahan,” katanya.

Jelas Ezlina, pihaknya menerima maklum balas amat baik daripada ibu bapa yang memaklumkan anak mereka menunjukkan perubahan positif selepas mengikuti sesi PBHM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post MOTOSIKAL KLASIK 7 DEKAD, TRIUMPH THUNDERBIRD CURI TUMPUAN