Vaksin COVID-19 wajib diberikan kepada petugas barisan hadapan – Mufti Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA LINGGI 20 Dis. – Vaksin COVID-19 wajib diberikan kepada petugas barisan hadapan dan harus diberikan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengambilnya secara sukarela.
Ia adalah ketetapan diambil sebulat suara oleh Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang bersidang dua minggu lalu.

Muzakarah yang dihadiri semua Mufti itu antara lain membincangkan aspek berkenaan berikutan langkah kerajaan mendapatkan bekalan vaksin itu dari luar negara.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pemberian vaksin secara wajib kepada petugas barisan hadapan penting kerana mereka menghadapi risiko tinggi
dijangkiti pandemik COVID-19 ketika bertugas.

“Vaksin itu harus diambil oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambilnya secara sukarela,” katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada program Is-ad al-Usrah dan Musaadah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) di perkampungan nelayan, Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

Abdul Halim berkata demikian ketika diminta Zulkifli memberi penjelasan mengenai vaksin berkenaan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu diminta wakil media supaya memberi penjelasan mengenai situasi semasa vaksin itu.

Pada program berkenaan, Zulkifli menyampaikan sumbangan RM14,500 YADIM kepada nelayan, Hasni Zainizam Hassan, 43, untuk menjalankan kerja pembaikan bumbung rumahnya yang sudah uzur, selain RM500 bagi melakukan kerja yang sama untuk enjin motor sangkutnya yang rosak.

Zulkifli turut menyampaikan wang dan bahan makanan kepada beberapa nelayan yang tertekan akibat pandemik COVID-19.

Mengenai dana bantuan YADIM, Zulkifli berkata, agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sudah membelanjakan RM360 juta untuk membantu rakyat yang
menerima kesan langsung akibat pandemik COVID-19 sejak Mac lalu.

Katanya, sukarelawan YADIM daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini menumpukan usaha membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Pada 10 Disember lalu Zulkifli dilaporkan berkata, Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung fatwa penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam.

Katanya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin COVID-19 itu sudah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan seminggu sebelum itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini pada suku pertama tahun depan.

Views:

378
Kongsi :
Previous post Lukisan mural hargai petugas ‘Frontliner’
Next post “Alhamdulilllah dan terima kasih YADIM”
Ubah saiz-+=