“Alhamdulilllah dan terima kasih YADIM”

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LINGGI 20 Dis.- “Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) kerana membantu saya.

“Dengan sumbangan RM15,000 itu dapatlah saya menjalankan kerja pembaikan bumbung rumah yang sudah uzur dan enjin motor sangkut yang rosak,” kata nelayan Hasni Zainizam Hassan, 43.

Sumbangan berkenaan diterima daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada program Is-ad al-Usrah dan Musaadah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, di hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk
Ismail Othman.

Hasni berkata, sejak bumbung zink kediamannya bocor setahun lalu, beliau tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menadah air yang menitis bagi mengelakkan lantai menjadi becak.

Bapa empat anak berusia antara tiga hingga 12 tahun itu berkata, beliau tidak dapat turun ke laut sejak tiga bulan lalu berikutan enjin motor sangkut 40 kuasa kudanya rosak, selain masalah hakisan pantai yang menyebabkan tebing pantai menjadi terlalu tinggi.

“Hakisan itu menyebabkan saya dan nelayan lain tidak dapat menurunkan perahu gentian kaca ke gigi pantai dan masalah itu diburukkan lagi dengan enjin motor sangkut rosak.

“Saya terpaksa mengambil upah bertukang di tapak pembinaan dan kadang kala turun ke laut mengikut nelayan di kampung lain,” katanya ketika ditemui selepas program
berkenaan.

Kesempitan hidup menyebabkan beliau tidak mampu menjalankan kerja pembaikan bumbung dan enjin yang masing-masing menelan kos RM14,500 dan RM500.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana memurahkan rezekinya dan berterima kasih kepada YADIM kerana sudi menghulurkan sumbangan.

Sementara itu, Nasrudin berkata, Hasni adalah seorang daripada asnaf yang diberikan bantuan dana berjumlah RM360 juta yang turut diberikan kepada mereka yang menerima kesan langsung akibat pandemik COVID-19 sejak Mac lalu.

“Alhamdulillah, dana itu membantu ramai asnaf dan mereka yang terkesan akibat COVID-19 dan insya-Allah bagi melaksanakan program tahun hadapan, YADIM akan berusaha mendapatkan dana daripada kerajaan, korporat dan individu yang bermurah hati menginfakkan harta dan wang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, program Is-ad al-Usrah bagi menjalankan kerja pembaikan bumbung itu turut dibantu sukarelawan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Views:

528
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19 wajib diberikan kepada petugas barisan hadapan – Mufti Melaka
Next post Prof Datuk Dr Sidek Baba dinobat Tokoh PENAMA
Ubah saiz-+=