Wang RM9,000 hangus, suami tetap meringkuk dalam penjara

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 22 Jan. – Hasrat seorang wanita untuk membebaskan suaminya dari penjara dengan bayaran ‘duit tepi’ RM9,000 berakhir dengan tragedi apabila ditipu individu menyamar anggota polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, berdasarkan laporan, suri rumah berusia 26 tahun itu memberitahu dia dihubungi seorang lelaki mengaku anggota polis berpangkat Sarjan bernama Hairol.

Katanya, suspek juga mendakwa dia adalah pengawai penyiasat kes membabitkan suami mangsa yang ditangkap atas kesalahan memiliki rokok tidak lulus kastam.

“Mangsa kemudian ditawarkan untuk membebaskan suaminya tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang, namun perlu membuat bayaran.

“Mangsa bersetuju dan memasukkan RM9,000 ke dalam satu akaun Maybank yang diberikan suspek. Selepas membuat bayaran mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk membebaskan suaminya, namun anggota di balai itu memaklumkan dirinya sudah menjadi mangsa penipuan.

“Mangsa terkejut dan cuba menghubungi ‘Sarjan Hairol’, namun panggilannya telah disekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sundra Rajan berkata, mangsa membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Pulau Sebang dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Mengulas lanjut, Sundra memaklumkan pihaknya telah menerima 12 laporan berhubung kes tipu bebaskan tahanan dalam lokap sejak 2019 hingga hari ini.

Sepanjang tahun ini, tiga laporan diterima membabitkan kes sama dan beliau menasihati orang ramai tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran untuk membebaskan tahanan dalam lokap oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post Lebih 4,000 petugas kesihatan ATM dijangka terima vaksin
Next post PERHILITAN Terengganu dan NWRC berjaya tangkap harimau belang jantan di Dungun
Ubah saiz-+=