PERHILITAN Terengganu dan NWRC berjaya tangkap harimau belang jantan di Dungun

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA TERENGGANU 22 Feb. – Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya menangkap seekor harimau belang jantan, di ladang sawit Felda Kerteh 3, dekat Dungun hari ini.

Operasi memburu ‘pak belang’ selama empat jam bermula 8 pagi tadi, diketuai Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak dengan kerjasama 15 anggota Perhilitan Dungun dan Kemaman.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC Nik Mohd Zamani Awang berkata, harimau jantan yang dianggarkan berusia 14 hingga 16 tahun dengan berat lebih 160 kilogram itu, berjaya ditangkap hasil tembakan ubat pelali.

“Hasil pemeriksaan mendapati harimau tersebut telah tercedera kerana terdapat tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya, dipercayai akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab. Harimau ini akan dipindahkan ke NWRC, Sungkai untuk rawatan dan pemantauan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Harimau itu dijumpai pada jarak tiga kilometer dari lokasi ia ditemui penduduk, dipercayai keletihan akibat kecederaan yang dialami.

Terdahulu, dua video harimau yang cedera dengan durasi 29 saat dan 54 saat, tular di laman sosial dipercayai dirakam oleh pekerja ladang warga Indonesia, ketika terserempak dengan haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi Bernama, tidak menolak kemungkinan harimau belang itu adalah haiwan sama yang sering menyerang lembu yang diternak peneroka Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4, sebelum ini.

“Tangkapan itu diharap dapat meredakan kebimbangan penduduk di kawasan Felda tersebut yang sangat gusarkan keselamatan mereka akibat serangan harimau yang semakin kerap sejak akhir tahun lepas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post Wang RM9,000 hangus, suami tetap meringkuk dalam penjara
Next post Solat hajat mohon kejayaan calon SPM
Ubah saiz-+=