Solat hajat mohon kejayaan calon SPM

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 22 Feb. – Kira-kira 60 jemaah Masjid al-Ehsan di Kampung Londang, di sini, mengadakan solat hajat pagi tadi bagi memohon, keselamatan, keberkatan dan kejayaan buat anak kariah kampung itu yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini.

Solat hajat diadakan selepas solat Subuh itu diimamkan Imam I, Mohd Nawawi Abdullah yang juga guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini.

Jemaah masjid, Mohd Azmi Hashim, 64, berkata walaupun anaknya tidak menduduki peperiksaan itu, beliau bersama-sama memanjatkan hajat dan doa kepada Allah supaya memberikan kejayaan cemerlang kepada calon SPM di kampung berkenaan.

Mohd Azmi.

“Menjawab soalan peperiksaan penting seperti SPM amat memerlukan calon tenang dan sabar supaya tidak melakukan kesilapan.

“Calon tidak seharusnya terlalu gementar untuk menjawab soalan kerana ia akan menyebabkan mereka melakukan kesilapan,” katanya.

Jamaluddin Hamzah, 60, berkata beliau mendoakan agar anak saudara lelakinya mampu menjawab soalan dengan tenang dan menyelesaikan semua jawapan dalam tempoh ditetapkan sepanjang peperiksaan.

“Saya berdoa supaya Allah memudahkan anak saudara saya menjawab soalan dengan cemerlang,” katanya.

Jamaludin.

Alias Ri, 61, berkata beliau mendoakan semua calon SPM di kampung itu tidak melakukan kesilapan dalam memahami soalan dan memberikan jawapan yang tepat.

“Amat penting untuk calon SPM memahami soalan kerana jika mereka menjawab tetapi tidak menepati soalan, ia tidak bermakna,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan cemerlang dalam SPM memberikan peluang untuk mereka melangkah ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1194
Kongsi :
Previous post PERHILITAN Terengganu dan NWRC berjaya tangkap harimau belang jantan di Dungun
Next post Sanitasi tetap penting walaupun sudah ada vaksin
Ubah saiz-+=