Sanitasi tetap penting walaupun sudah ada vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 22 Feb. – Walaupun sudah ada vaksin COVID-19 usaha melakukan sanitasi tetap penting bagi mengurangkan penularan pandemik itu.

Sehubungan itu, lima anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Unit Amal Traders (UAT) sanggup berkorban lebih RM10,000 semata-mata untuk melaksanakan sanitasi di enam taman perumahan di Padang Temu, di sini hari ini.

Menggunakan modal sendiri dan wang yang diinfakkan oleh pelbagai pihak, mereka mengubah suai kenderaan pacuan empat roda bagi membolehkan ia menampung beban tangki air seberat satu tan.

Anggota UAT bersedia melakukan sanitasi selepas berbincang dengan penduduk Padang Temu.
– Foto DIN AHMAD

Pengasas UAT, Muhammad Siratal Mustaqim Hamzah, 36, berkata mereka terpaksa menukar penyerap hentakan dan tayar kenderaan itu agar ia lebih tinggi dan mampu menampung tangki berkenaan.

“Kami memasang pam yang mampu mengepam air berisi bahan sanitasi ‘hydrogen peroxide’ dengan laju untuk disembur ke rumah penduduk taman,” katanya ketika melakukan sanitasi di Taman Padang Temu Jaya, di sini hari ini.

Tugas berkenaan dilakukan dalam tempoh tiga jam membabitkan taman berkenaan, selain Taman Melayu Padang Temu, Taman Padang Temu, Taman Pertam Jaya, Taman Impian Padang Temu dan Flat Pertam Jaya.

“Alhamdulillah, walaupun agak letih, kami gembira kerana dapat membantu usaha mengurangkan bilangan kes COVID-19,” katanya.

Sebelum ini anggota UAT menjalankan sanitasi secara manual di lebih 80 masjid dan surau seluruh negeri ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Temu, Farhan Awal berkata, penduduk kampung dan taman amat berbesar hati menerima kehadiran anggota UAT menjalankan kerja sanitasi secara percuma.

“Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada UAT kerana sudi membantu kami dan kami berdoa agar Allah memberikan ganjaran kepada mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post Solat hajat mohon kejayaan calon SPM
Next post Kabel elektrik bawah jambatan Pulau Pinang terbakar
Ubah saiz-+=