Warong Rider sedia lebih 11,000 peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 30 Mac – Inisiatif mewujudkan platform Warong Rider dijangka mampu menyediakan 11,100 peluang pekerjaan di seluruh negara tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, platform itu sekali gus mampu melahirkan seramai 12,500 usahawan dengan 500,000 pengguna di seluruh Malaysia.

Menurutnya, di Melaka sasaran itu akan dicapai melalui Melaka ICT Holdings (MICTH) sebagai agensi penyelaras di peringkat negeri.

“Platform Warong Rider dijangka mampu meningkatkan eknomi digital selain mewujudkan sistem penghantaran yang cekap.

“Ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan golongan belia negeri selain menarik minat peniaga mencapai sasaran pelanggan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

PENUNGGANG Warong Rider mengambil kesempatan bergambar bersama Sulaiman.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Peringkat Negeri Melaka Warong Rider di Seri Negeri, sebentar tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Timbalan Pengerusi Melaka ICT Holdings (MITCH), Datuk Mohd Fauzi Yaakub.

Jelasnya, adanya Warong Rider sudah pasti ia meningkatkan urusniaga secara e-commerce dan pembayaran secara dalam talian (online) yang mampu mengurangkan risiko COVID-19.

“Konsep Warong Rider ini bukan sekadar hantar pesanan makanan halal, malah telah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat termasuk penghantaran ubat-ubatan dari farmasi.

“Penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah serta penghantaran dari kedai runcit atau pasaraya terus ke lokasi anda,” katanya.

Sulaiman berkata, menariknya peluang pekerjaan sebagai ‘rider’ atau ‘runner’ ini meliputi pelbagai insentif seperti perlindungan penjana gig, penyelenggaraan motorsikal, insentif rider cemerlang, bonus bulanan dan tahunan termasuk cabutan ibadat umrah.

“Ejen-ejen boleh mendaftar secara percuma tanpa yuran bulanan atau tahunan serta bayaran penuh kepada peniaga dengan komisen sehingga 20 peratus.

“Usaha ini juga mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corp,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Polis Melaka bakal terima 31 pacuan empat roda
Next post Banjir kilat: Syarikat kontraktor dikenakan kompaun RM25,000
Ubah saiz-+=