Banjir kilat: Syarikat kontraktor dikenakan kompaun RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 30 Mac – Sebuah syarikat kontraktor yang menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan banjir kilat di Taman Sutera Wangi dikenakan kompaun RM25,000.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, susulan hujan lebat pada awal pagi semalam, beberapa kawasan di bawah pentadbirannya dinaiki air.

Katanya, berikutan pihaknya dan beberapa agensi terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat.

SYARIKAT kontraktor yang menjalankan kerja tanah tanpa izin di Taman Sutera Wangi dikenakan kompaun RM25,000. PIX Ihsan MPHTH

“Hasil pemeriksaan di Taman Sutera Wangi, kita dapati banjir kilat di kawasan itu berpunca daripada pemaju tanah yang membuat kerja tanah tanpa izin MPHTJ.

“Berikutan itu, MPHTJ mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 dan kerja meratakan tanah oleh syarikat kontraktor berkenaan dihentikan serta-merta,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Menurut Shadan, pihaknya juga mengenal pasti kawasan banjir kilat di Taman Bukit Beruang yang berpunca daripada kapasiti kolam yang tidak cukup menampung takungan air sehingga melimpah ke kawasan sekitar.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan keluarkan notis sebut harga bagi mendalamkan serta menaik taraf kolam takungan di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dakwaan Rumah Pam di Taman Malim Jaya tidak berfungsi sehingga mengakibatkan banjir kilat saban tahun adalah tidak benar.

Katanya, JPS memaklumkan paras air laut sedang mengalami air pasang dan ditambah dengan hujan lebat, paras air naik tinggi serta mengalir ke sungai berkenaan.

“Jadi, kalau kita pam sekalipun tiada ada gunanya kerana paras air laut tinggi dan menolak saliran air sungai sehingga melimpah ke kawasan sekitar.

“Ia bukan disebabkan rumah pam tidak berfungsi atau masalah teknikal lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post Warong Rider sedia lebih 11,000 peluang pekerjaan
Next post Coldplay taja Interceptor 005 bersihkan sungai Malaysia
Ubah saiz-+=