
WRUR DUN SUNGAI UDANG HARAP ‘LERAI’ PENANTIAN LEBIH 20 TAHUN
AYER KEROH 2 Mei – Pembinaan sebuah sekolah rendah agama (SRA) menjadi fokus utama yang akan diketengahkan kepada Kerajaan Negeri menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, isu kemudahan SRA sudah berlarutan lebih 20 tahun dan berikutan ketiadaan kemudahan itu anak-anak terpaksa menumpang di bangunan sekolah harian bagi sesi pembelajaran sekolah agama.
“Fokus utama saya adalah Kerajaan Negeri boleh membantu orang Sungai Udang untuk memiliki sebuah SRA sendiri, sekali gus meleraikan isu berlarutan sudah lebih 20 tahun.
“SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) adalah di bawah Kerajaan Negeri tetapi murid terpaksa menumpang di bangunan sekolah kebangsaan. Murid sekarang sudah ramai dan melebihi kapasiti boleh ditampung.
“Justeru itu saya mengharapkan ini (pembinaan sekolah) kerana ia telah dimohon lebih dari 20 tahun,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, Selasa lalu.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, besar harapan khususnya rakyat DUN Sungai Udang sekiranya permohonan pembinaan SRA dapat diluluskan pada WRUR seperti DUN Pengkalan Batu, baru-baru ini.
“Ini adalah harapan rakyat DUN Sungai Udang kerana dengan adanya SRA Sungai Udang yang baharu ia akan dapat menampung jumlah murid, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Sekiranya kita lihat di DUN Pengkalan Batu baru-baru ini, mereka sudah menerima sebuah SRA baharu jadi harapan kita sama, agar ada berita gembira diumumkan pada WRUR nanti.
“Saya tahu dan faham kedudukan Kerajaan Negeri tetapi di dalam isu ini, tetapi saya mewakili penduduk DUN Sungai Udang amat berharap kita boleh ada SRA Sungai Udang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.