
WRUR DURIAN TUNGGAL BAWA KELAINAN, TAMPIL ‘EXCO ANGKAT’ SETIAP KAMPUNG
DURIAN TUNGGAL 22 Oktober – Inisiatif ‘Exco Angkat’ bagi setiap kampung bakal memberikan impak lebih berkesan pada penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, Exco Angkat dilantik akan membantu menyelesaikan setiap isu yang disuarakan penduduk setempat menerusi sesi libat urus yang dianjurkan.
“Pengisian WRUR DUN Durian Tunggal sama seperti DUN lain sebelum ini, namun ia terdapat sedikit kelainan apabila pelaksanaannya memberikan fokus kepada kampung-kampung.
“DUN Durian Tunggal ada 10 kampung dan akan turut membabitkan sebuah perumahan iaitu Taman Angkasa Nuri. Jadi setiap kampung dan taman akan mempunyai seorang Exco angkat yang akan bersama-sama sempena WRUR DUN Durian Tunggal.
“Setiap hari Exco akan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pengerusi taman akan mengadakan sesi libat urus di balai raya masing-masing untuk mendengar, sekali gus mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya.
Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, persiapan pelaksanaan WRUR DUN Durian Tunggal yang akan bermula pada 26 November hingga 8 Oktober depan berjalan lancar.
“Bagi saya setakat ini persiapan sudah mencapai 90 peratus dan kami sudah bersedia untuk melaksanakan termasuk turun padang menyantuni rakyat setempat.
“Berdasarkan perancangan bersama pihak agensi dan jabatan yang berkaitan, kira-kira 140 program termasuk acara dijadualkan akan diadakan sepanjang dua minggu pelaksanaan WRUR DUN Durian Tunggal,” katanya.
Jelasnya, majlis perasmian pembukaan WRUR DUN Durian Tunggal akan disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin akan diadakan di kawasan bendang di Kampung Beringin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.