Sorting by

×

WRUR REMBIA: MPAG FOKUS PROGRAM KOMUNITI, ISU PERBANDARAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

REMBIA 28 Julai – Program khas untuk masyarakat dan komuniti menjadi antara beberapa pengisian yang akan dibawa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia 3 hingga 16 Ogos ini.

Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, program yang dinamakan Masyarakat di Hati MPAG itu akan berkonsepkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat yang memerlukan di DUN Rembia.

Selain itu, beliau memaklumkan, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu perbandaran sepanjang dua minggu program tersebut berlangsung.

Katanya, kerja-kerja harian turut dilaksanakan seperti kebersihan, cantasan dan pengindahan secara berterusan di kawasan-kawasan tumpuan sepanjang tempoh program berlangsung.

“MPAG merancang pelaksanaan Program Masyarakat di Hati MPAG yang dijadualkan berlangsung pada 6 Ogos 2025 sempena WRUR DUN Rembia.

“Program itu melibatkan aktiviti gotong-royong membersih dan membaiki kerosakan kecil di dua buah rumah penduduk yang terpilih di Kampung Jelatang dan Kampung Bukit Hantu, Rembia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penutup Kempen Membasmi Wabak Denggi Tahun 2025 di Dewan Taman Kebaya Paya Datok di sini, semalam.

Program tersebut telah dirasmikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, TPr. Saifuddin berkata, sempena WRUR DUN Rembia, MPAG juga akan menganjurkan Program Car Free Zone @ Alor Gajah yang akan diadakan pada 9 Ogos di Dataran Keris.

Istimewanya, beliau memaklumkan program Hari Tanpa Kenderaan itu bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai antaranya persembahan pentas, karaoke, permainan kanak-kanak dan jualan oleh usahawan tempatan

“MPAG turut menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan sokongan bagi menjayakan program WRUR DUN Rembia termasuk logistik, kaunter aduan awam, kaunter bayaran bergerak, serta penyediaan tempat kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang terlibat.

“Komitmen MPAG merangkumi aspek pembersihan kawasan, cantasan, pengindahan dan fasiliti lain di lokasi yang memerlukan, demi memastikan kelancaran keseluruhan program WRUR dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post KAMPUNG PENGKALAN RENGGAM ‘RIUH’ BAK KENDURI
Next post UPTOWN FLEA TUN TEJA KINI LUBUK REZEKI PENIAGA KECIL